
KUALI merupakan antara peralatan yang paling penting jika anda ingin memasak di dapur. Tak ada periuk macam mana nak masak, betul?
Alat tersebut juga memiliki banyak jenis dan rupa bentuk yang berkongsi fungsi yang lebih kurang sama seperti menggoreng atau menumis.
Antaranya seperti penggoreng kering (air fryer) dan kuali leper yang mempunyai ciri lapisan salutan tidak melekat. Alat-alat itu menjadikan kerja memasak harian lebih cepat dan mudah.
BACA LAGI: Lepas sehari suntuk meneroka Zoo Taiping, apa kata bermalam di kontena bulat, comel dan santai
BACA LAGI: Pentingnya serat ketika usia semakin lanjut, ketahui 5 diet ideal pengambilan 'fiber'
Memilih peralatan memasak yang betul, bersama dengan amalan menggoreng yang lebih selamat, boleh mengurangkan pendedahan jangka panjang.
Walaupun kelihatan tidak berbahaya, kajian menunjukkan bahawa permukaan tidak melekat boleh melepaskan bahan kimia beracun ke dalam makanan.
Perkara ini menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya yang kita makan setiap kali memasak.
Berpotensi berbahaya
Ahli toksikologi makanan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Faizal Abdul Razis, berkongsi bahawa kajian menunjukkan sesetengah periuk salutan tidak melekat mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan jika digunakan dalam jangka masa panjang.
“Bahan PFAS (per- and polyfluoroalkyl substances) sering digunakan dalam salutan permukaan tersebut. Ia boleh mendatangkan bahaya apabila permukaan tercalar kerana serpihan salutan itu tidak selamat,” katanya.
PFAS ialah sekumpulan besar sebatian yang tergolong dalam pencemar organik berterusan.
Ia sering digelar sebagai “bahan kimia kekal” kerana boleh bertahan dalam persekitaran selama beberapa dekad tanpa terurai.
Bahan di dalam sesetengah pembungkusan makanan, contohnya pada pembalut nasi lemak atau goreng pisang.
Ia disebabkan sifatnya yang berterusan, ia boleh terkumpul dalam badan dari semasa ke semasa, dan kajian telah mengaitkannya dengan pelbagai risiko kesihatan.
Semenatara itu, ahli toksikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Razinah Sharif, turut menjelaskan bahawa bahan kimia yang digunakan dalam kuali itu dikaitkan dengan risiko kanser, yang bertindak sebagai bahan kimia pengganggu endokrin.
Ini menyebabkan bahan tersebut boleh mengganggu sistem hormon dalam tubuh.
“Kajian menunjukkan pendedahan kepada PFAS boleh menjejaskan kesuburan dan kesihatan reproduktif, dengan paras yang lebih tinggi sering dikesan pada individu yang mengalami masalah ketidaksuburan.
“Oleh kerana ia mengganggu fungsi hormon, PFAS akan membawa risiko kesihatan serius yang jauh melangkaui isu keselamatan memasak,” ujarnya.
Disebabkan perkara inilah, orang ramai tidak disarankan untuk mengguna kuali tidak melekat berkualiti rendah. Terutamanya jenis salutan tidak diketahui atau tidak dikawal selia.
Alternatif yang lebih baik?
Memilih peralatan memasak yang betul, bersama dengan amalan menggoreng yang lebih selamat, boleh mengurangkan pendedahan jangka panjang kepada bahan kimia berbahaya.
Menurut, Faizal antara empat jenis ciri kuali leper yang biasa ialah tidak melekat, seramik, keluli tahan karat dan besi. Pilihan yang paling selamat adalah bahan keluli tahan karat berkualiti tinggi.
“Tahan lebih lama, kurang reaktif dan hanya sedikit saja meresap ke dalam makanan. Namun, tidak semua keluli tahan karat adalah sama apatah lagi versi murah, mungkin berkarat,” terangnya.
Beliau menyarankan untuk melabur dalam kuali keluli tahan karat yang lebih berat, tebal dan mahal kerana ia menandakan kualiti yang lebih baik.
“Berbeza dengan peralatan memasak tidak melekat, pemanasan berlebihan keluli tahan karat tidak akan mengeluarkan asap kimia beracun.
“Walau bagaimanapun, sejumlah kecil nikel atau kromium mungkin juga meresap ke dalam makanan, terutama ketika memasak hidangan berasid.
"Tetapi kebanyakan orang tidak membawa risiko yang besar jika kualitinya tinggi," ujarnya.
Apa pun, tiada peralatan memasak yang benar-benar bebas risiko.
Keselamatan bukan sahaja bergantung kepada bahan, tetapi juga cara ia digunakan.
“Sebab itu, adalah penting untuk memeriksa label keselamatan dengan teliti dan elakkan pendedahan suhu tinggi secara tiba-tiba kerana seramik mudah pecah dan dianggap sebagai pilihan yang paling rapuh, katanya.
Selain itu, besi tuang juga merupakan alternatif yang baik, tetapi mempunyai pertimbangan tersendiri.
Ia mungkin bermanfaat bagi sesetengah orang, tetapi berisiko bagi individu yang paras zat besi berlebihan,” katanya.
Bagaimana pun, kedua-dua penganalisis itu menekankan bahawa keluli tahan karat berkualiti tinggi serta kuali besi tuang tebal adalah pilihan yang lebih selamat dan tahan lama untuk kegunaan jangka panjang.
Penggunaan Kuali Tidak Melekat
Kuali tidak melekat sangat popular zaman sekarang kerana tidak melekat dan mudah dibersihkan. Namun, penggunaannya perlu diberi perhatian kerana ada risiko tertentu yang boleh menjejaskan keselamatan.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah keadaan salutan kuali. Jika terdapat calar atau salutan mula mengelupas, kuali tersebut tidak lagi selamat digunakan dan harus diganti segera.
Selain itu, kuali tidak melekat juga tidak sepatutnya dipanaskan dalam keadaan kosong. Sebaiknya masukkan sedikit minyak atau air sebelum memanaskannya supaya salutan tidak rosak.
Penggunaan haba yang terlalu tinggi turut mendatangkan bahaya kerana kuali jenis tidak melekat lebih sesuai digunakan pada api sederhana atau kecil.
Perlu diingatkan kesan sampingannya mungkin tidak nampak sekarang tetapi ia boleh muncul selepas 10 hingga 20 tahun, bahkan berisiko menjejaskan generasi seterusnya.
Oleh itu, pakar menyarankan agar kuali tidak melekat hanya digunakan untuk masakan ringan seperti menggoreng telur atau menumis sayur. — TheStar/EMALIN ZALANI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram