Teroka destinasi pelancongan berasaskan komuniti diiktiraf PBB, khususnya di Batu Puteh


  • Nomad
  • Ahad, 28 Sep 2025

Pulau Batu Puteh antara yang diiktiraf PBB sebagai pusat pelancongan terbaik komuniti.

SEJAK sambutan pertama Hari Pelancongan Sedunia oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism) pada 27 September 1980, pelbagai negara telah menjadi tuan rumah dan memperlihatkan pelbagai lokasi menarik yang ada di negara masing-masing.

Tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah dan negeri bersejarah, Melaka dipilih sebagai lokasi Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan 2025 yang berlangsung hari ini hingga 29 September. 

Bertemakan “Pelancongan dan Transformasi Lestari”, sambutan tahun tersebut menyeru kepada pendekatan yang lebih mampan dalam sektor pelancongan.

BACA LAGI: Rama-rama semakin pupus, tak mustahil senasib dinosaur 50 tahun lagi — Saintis

BACA LAGI: Nak duduk hotel 5 bintang tapi harga 3 bintang? Ini rahsianya

Berikutan daripada sambutan tersebut Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) semakin mendapat tempat dalam industri pelancongan.

Maka, berikut adalah beberapa contoh destinasi yang menggambarkan sektor pelancongan berasaskan komuniti.

 

 

1) Komuniti Batu Puteh, Kinabatangan, Sabah 

Merangkumi Batu Puteh, Mengaris, Perpaduan dan Singgah Mata, keempat-empat perkampungan di Sabah itu telah meraih pengiktirafan global apabila dinobatkan sebagai salah satu Best Tourism Villages oleh UN Tourism (2021) selepas 25 tahun usaha.

Bermula pada 1996, masyarakat terutamanya belia tempatan di situ membangunkan pelancongan berasaskan komuniti melalui inap desa dan ekopelancongan.

Kemudian bergabung di bawah koperasi KOPEL pada 2023. Terletak dalam Hutan Simpan Pin-Supu, Batu Puteh menawarkan pelbagai aktiviti seperti pelayaran sungai, eko-kem hujan tropika, kem pengembaraan dan inap desa.

Ini termasuk persembahan budaya oleh kumpulan Mononompos yang mengetengahkan tradisi Orang Sungai.

Komuniti tersebut memperjuangkan pengurusan hutan lestari melalui pemantauan dan penanaman semula pokok, membolehkan pelawat menikmati gabungan pengalaman budaya serta kepelbagaian biodiversiti.

 

 

2) Desa Wisata Nglanggeran, Yogyakarta, Indonesia 

Perkampungan Desa Wisata Nglanggeran merupakan salah satu kawasan yang dinobatkan sebagai salah satu Best Tourism Villages oleh UN Tourism (2021).

Transformasi di situ bermula pada 1999 yang diterajui oleh organisasi komuniti belia Karang Taruna, dengan memfokus ekopelancongan yang berpusatkan Gunung Berapi Purba Nglanggeran.

Malah ia menjadi sebahagian daripada UNESCO Global Geopark Gunung Sewu. Bukan sekadar aktiviti pendakian ke gunung berapi tersebut yang menjadi tarikan utama, kisah budaya dari Kampung Pitu dan pemandangan indah Empangan Nglanggeran juga menjadi sasaran pelancing.

Terutama ketika matahari terbit atau terbenam juga menjadi penantian pengunjung di sana.

Pelawat boleh menginap di tapak glamping atau kawasan perkhemahan atau salah satu daripada kira-kira 80 inap desa yang tersedai di sana.

Sambil merasai kehidupan tani setempat anda boleh belajar membuat batik kayu, serta menikmati produk coklat istimewa dari kampung tersebut.

 

3) Kirtipur,Nepal

Buat mereka yang menuju ke gunung Everest untuk aktiviti pendakian, pastikan anda singgah ke Kirtipur yang hanya 5 kilometer dari Kathmandu, Nepal.

Ini keranan kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada Community Homestay Network (CHN) yang ditubuhkan pada 2017 untuk mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti.

CHN bukan sahaja menawarkan inap desa, malah menyusun pengalaman budaya dan berasaskan alam bersama komuniti tempatan.

Malah, memastikan keaslian serta pemberdayaan. Di sana, pengunjung berpeluang melawat dan menyelami tradisi masyarakat Newari dengan mempelajari cara membuat momo, menulis dalam Ranjana Lipi, iaitu bahasa salah satu suku di sana yang dipanggil Newar.

Selain itu, anda boleh menyertai jelajah warisan serta mengambil bahagian dalam Festival Ropain untuk merasai pengalaman menanam padi secara tradisional.

Tetamu juga boleh meraikan acara ritual kuil yang istimewa dan upacara tempatan yang dipanggil Sagun, atau memperluas kemahiran masakan dengan menyediakan hidangan Newari seperti chatamari, choila dan aila.

4) Perkampungan Etnik Thai Hai, Thai Nguyen, Vietnam 

Diiktiraf sebagai salah satu Best Tourism Villages oleh UN Tourism (2022) atas usahanya memelihara budaya Tay serta mempromosikan gaya hidup lestari, perkampungan Perkampungan Etnik Thai Hai cukup unik.

Meliputi kawasan seluas 20 hektar, perkampungan itu menempatkan lebih 30 rumah tradisional kayu bertiang tinggi yang dibina tanpa menggunakan paku atau simen.

Lebih menarik, pelawat boleh menginap sambil menyelami kehidupan seharian bersama masyarakat tempatan.

Selain itu, tetamu berpeluang mempelajari Sistem Pertanian Bersepadu VAC (kebun–kolam–ternakan), menikmati hidangan bersama penduduk seperti kuih tradisional mereka dan hasil organik sayur mereka dan menyaksikan pembuatan kraftangan.

Pengalaman budaya diperkaya lagi melalui kepelbagai perayaan seperti Festival Long Tong, Festival Pay Tai, dan Festival Menumbuk Beras Com (menumbuk beras sebagai penyediaan sambutan Tahun Baharu).

Semua perayaan tersebut memperlihatkan betapa indahnya tradisi serta nilai yang dicipta oleh komuniti Tay.

 

 

5) Pulau Terapung Uros, Tasik Titicaca, Peru 

Di pulau terapung itu menampilkan komuniti unik yang mendiami di lebih 100 pulau buatan yang diperbuat sepenuhnya daripada buluh totora (buluh perahu.

Masyarakat Uros, yang mendiami kawasan tasik itu sejak lebih 3,700 tahun lalu, mula membina pulau terapung sekitar 500 tahun dahulu sebagai perlindungan daripada penceroboh.

Kini, hampir setiap binaan di sana termasuk perahu dan perabot diperbuat daripada buluh dan menjadi tarikan pelancong yang ingin menyaksikan kemahiran anyaman serta gaya hidup tradisional mereka.

Walaupun ada keluarga yang menawarkan pengalaman inap desa asli bagi menyokong komuniti di sana, jumlah kedatangan pelancong yang tinggi telah membawa kepada tahap komersial.

Justeru itu, amat penting bagi pelancong memilih lawatan beretika yang benar-benar memberi manfaat kepada penduduk tempatan. — TheStar/FLOREY D. MIKIL

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram