
MEMBELA makhluk kecil yang dipanggil isopod, Evan Leonidas Lim Yit Ming, 12, bukanlah jenis kanak-kanak yang membela kucing atau arnab sebagai haiwan peliharaan.
Isopod ialah sekumpulan krustasea kecil termasuklah kutu kayu yang biasa ditemui di taman atau di bawah kayu reput yang lembap.
“Saya sayang isopod saya, mereka memang comel,” kata Evan sambil memegang seekor dengan lembut di tapak tangannya.
BACA LAGI: Nak duduk hotel 5 bintang tapi harga 3 bintang? Ini rahsianya
BACA LAGI: Meriam lapuk, motosikal tentera antara 'harta karun' dijumpai skuba di dasar laut
Walaupun isopod bukanlah pilihan kebanyakan orang sebagai haiwan peliharaan, tetapi ia secara perlahan-lahan mula menunjukkan pengikutnya yang tersendiri menerusi komuniti kecil.
Bagi Evan, tarikannya adalah kerana dia dapat membina hutan mini sendiri di dalam bilik yang mewarnai hidupnya bersama makhluk kecil itu.
“Setiap pagi, saya akan periksa sama ada isopod saya bergerak atau kalau ada anaknya yang baru menetas.
“Saya kaji walaupun mereka kecil, isopod memainkan peranan penting dalam prosesnya memakan daun-daun lama untuk menjaga tempat supaya bersih. Saya rasa seronok menjaganya dan melihat mereka membesar,” ujarnya.
Loy (kiri) percaya bahawa menjaga isopod telah mengajar Evan tanggungjawab dan penghargaan terhadap alam sekitar.
Murid tahun enam dari SK Damansara Jaya 2, Petaling Jaya, Selangor, melihat dengan semakin ramai kanak-kanak menghabiskan masa berjam-jam dengan media sosial dan gajet, lebih menarik lagi seorang budak yang lebih tertarik kepada alam semula jadi walaupun sekecil isopod.
“Saya suka pemeliharaan, dan saya memang minat dengan alam semula jadi. Saya pernah bela pelbagai haiwan seperti belalang sembah, udang air tawar dan ikan laga,”jelasnya.
Evan mula mengenali isopod setahun lalu di sebuah bengkel terrarium di Jaya One, Petaling Jaya, yang dianjurkan oleh peminat terrarium dan penggemar isopod, Aida May KB.
Tidak seperti kelas terrarium biasa yang hanya menumpukan pada tumbuhan, bengkel tersebut unik kerana memperkenalkan isopod sebagai sebahagian daripada ekosistem hidup.
Sejak itu, Evan semakin menyayangi isopod miliknya dan menjaganya dengan penuh teliti.
“Setiap minggu, saya beri mereka makan kepingan makanan ikan dan daun kering. Saya akan rendam dulu daun-daun itu untuk buang kekotoran, kemudian keringkan sebelum diberi kepada isopod. Mereka hampir boleh makan apa saja jenis daun kering,” terangnya.
Seperti lipan, isopod memainkan peranan penting dalam alam semula jadi dengan memakan daun reput dan membantu mengitar semula nutrien ke dalam tanah.
“Saya ada lebih daripada 20 ekor isopod dalam terrarium saya. Saya cuma bela dua jenis iaitu cubaris mandarin yang berwarna oren dan cubaris morina yang berwarna kelabu.
“Saya pilih yang ini sebab harganya paling murah. Mummy bayar RM10 untuk lima ekor. Pilihan pertama saya sebenarnya isopod berduri dari Thailand sebab durinya nampak macam durian dan terlalu mahal.
“Saya tak boleh campur spesies yang berbeza. Mereka sebenarnya tak bergaduh, tapi akan mula ‘ambil alih’ tempat dan curi benda macam kayu dan daun. Tapi spesies cubaris boleh duduk bersama antara satu sama lain,” kongsi Evan.
Bagi Evan, menyimpan isopod adalah tentang mencipta ekosistem hutan kecilnya sendiri di dalam biliknya.
Makhluk kecil ini juga mempunyai keperluan berbeza bergantung pada asal-usulnya. Ada yang hidup di darat tak boleh bernafas dalam air, dan yang dalam air tak boleh hidup di darat.
Ibu Evan, Eva Loy, 36, melihat hobi anaknya itu bukan sekadar menjaga haiwan kecil, tetapi juga belajar menghargai alam dalam pelbagai bentuknya. Dia amat seronok melihat bagaimana anaknya begitu teruja mencipta dunia kecilnya sendiri.
“Saya rasa dia suka sebab ia macam mencipta alam semesta mini miliknya. Dia akan simpan terrarium itu sampai bosan, lepas tu dia hias semula. Adanya isopod membuat ia lebih menarik dan yang bagusnya, mereka tak cuba lari!” kongsi Loy.
Bagi Loy, nilai sebenar hobi ini adalah pada pengajaran yang dibawa. Sejak memulakan hobi ini, rasa ingin tahu Evan terhadap alam semula jadi hanya semakin mendalam.
“Kadang-kadang dia tiba-tiba bercakap tentang pokok periuk kera atau Venus flytrap, atau dia akan berada di luar bersama adik-adiknya mencari lipan atau berudu macam Coyote Peterson, YouTuber dan pendidik hidupan liar dari Amerika!” seloroh Loy.
Loy turut menghargai bagaimana minat ini membuatkan anaknya lebih terlibat dengan perkara bermakna berbanding menghabiskan masa dengan skrin semata-mata.— The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram