Penuh perjuangan dan drama, Viper Niza Racing Malaysia muncul 4 pasukan terbaik keseluruhan


  • Massa
  • Isnin, 29 Sep 2025

Viper Niza Racing Malaysia tetap bersyukur dapat menamatkan musim di tempat ke-4 walaupun dilanda pelbagai drama dan dugaan.

 

 

PASUKAN Viper Niza Racing Team dari Malaysia telah menamatkan musim penuh pertamanya dalam Michelin 24H SERIES European Series 2025 dengan penuh cabaran dan drama pada pusingan akhir.

Bertempat di Barcelona, pasukan tersebut berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-4 keseluruhan dalam carta mata Kelas GT3-AM.

Barisan pemandu terdiri daripada pemandu utama merangkap Prinsipal Pasukan, Douglas Khoo, bersama Dominic Ang, Melvin Moh, Afiq Yazid dan Aaron Lim telah mengendalikan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO.

Ia dilengkapi dengan aksi 633 pusingan pada perlumbaan penutup musim 24 Hours of Barcelona di Sepanyol.

Pasukan ini menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 bagi kategori GT3 dan ke-22 keseluruhan, walaupun sempat berada setinggi kedudukan ke-7 pada peringkat awal.

BACA LAGI: Jika melancong ke Romania, jangan lupa saksikan keunikan Valtoare, mesin basuh pakaian tradisional guna kuasa alam semula jadi

BACA LAGI: Pentingnya serat ketika usia semakin lanjut, ketahui 5 diet ideal pengambilan 'fiber'

 

 

Aksi ketika kejohanan sedang berlangsung di Barcelona.

Perlumbaan bermula dengan Ang yang meletakkan pasukan Malaysia dalam kelompok hadapan di tempat ke-10 sebelum masuk ke pit untuk pengisian minyak, hentian pit berjadual serta pertukaran pemandu selepas sejam perlumbaan.

Khoo kembali semula ke trek di kedudukan ke-12 namun pantas melonjak sehingga ke tempat ke-7 sebelum insiden malang menimpanya apabila bertembung dengan salah sebuah Porsche di litar.

“Insiden itu berlaku pada jam kedua, dan pada awalnya kami sangka kerosakan kecil, hanya melibatkan bahagian upright yang patah. Jadi kami tukar bahagian itu dan teruskan perlumbaan.

“Malangnya, steering rack juga rosak, menyebabkan Moh yang menggantikan saya pada giliran ketiga dan terpaksa memberhentikan kereta di trek bagi mengelak kerosakan lebih teruk,” kata Khoo.

 

 

Aksi malam yang cukup mengagumkan.

Seluruh proses untuk membawa kereta kembali ke pit dan menukar steering rack mengambil masa hampir tiga jam menyebabkan, pasukan kehilangan lebih 90 pusingan berbanding pendahulu perlumbaan.

“Sasaran kami ke Barcelona adalah untuk merebut Kejuaraan GT3-AM atau sekurang-kurangnya menamatkan di tempat tiga teratas. Namun, kami tetap bersyukur dapat menamatkan musim di tempat ke-4 walaupun dilanda pelbagai drama dan dugaan,” ujarnya.

 

 

Setiap pasukan sedang membuat proses penukaran tayar di pit perhentian.

Continental Racing by Simpson Motorsport muncul juara keseluruhan GT3-AM, manakala Juta Racing dan Hofor Racing masing-masing menamatkan musim di tempat kedua dan ketiga.

Kemenangan yang lebih besar sebenarnya adalah apabila pasukan Malaysia berjaya membawa nama daripada pemandu, mekanik hinggalah jurutera perlumbaan di pentas berprestij itu.

Bukan sekadar untuk berlumba, tetapi juga melakukannya secara kompetitif sambil mengibarkan Jalur Gemilang di podium perlumbaan Eropah.

Pengalaman yang diraih tahun ini akan mempersiapkan lagi persediaan yang lebih baik untuk musim-musim akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram