Tulisan Jawi sebuah sistem, setiap lukisan ada kisahnya


  • Relaks
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Setiap lukisan mempunyai inti pati tersendiri yang ingin disampaikan kepada khalayak.

SETIAP karya seni bukan sekadar gabungan corak dan warna semata-mata, tetapi membawa maksud mendalam serta cerita tersendiri.

Begitu juga dengan seni lukisan kaligrafi jawi yang bukan sahaja mencerminkan keindahan tulisan, tetapi turut merungkai kisah-kisah budaya, sejarah dan nilai keislaman.

Seni tulisan Jawi dalam bentuk khat sering memperlihatkan visual yang menggambarkan kekayaan budaya tempatan, perjalanan sejarah bangsa, karakter masyarakat dan pelbagai unsur lain yang menghidupkan karya tersebut.

 

 

BACA LAGI:Revolusioner dunia muzik elektronik, aksi MotoGP bakal gegar Sepang

BACA LAGI:Art of Speed 2025 kekal 'garang', simbol kekuatan dunia modifikasi permotoran

Salah satu karya Afifuddin penuh dengan maksud tersiran walapun sebaris ayat dalam naskah al-Quran.

Salah seorang penggiat seni ini adalah pelukis kaligrafi, Muhammad Afifuddin Sabri, 31, yang sering menyelitkan unsur sejarah kemerdekaan dan nilai-nilai keislaman dalam karya-karya seninya.

Bagi beliau, setiap lukisan mempunyai inti pati tersendiri yang ingin disampaikan kepada khalayak.

Antara karya beliau menarik perhatian ialah lukisan menggambarkan suasana pertarungan antara seorang pendekar dengan individu lain yang memegang pedang. Ia adalah satu visualisasi yang diinspirasikan daripada zaman penjajahan di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Menurut Afifuddin, lukisan tersebut membawa mesej tersirat bahawa walaupun peperangan bukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak, namun mempertahankan tanah air adalah satu keperluan yang tidak boleh diketepikan.

Lebih menarik, beliau turut mengetengahkan tulisan Jawi dalam hampir setiap karya lukisannya, bukan sahaja sebagai elemen hiasan, tetapi sebagai simbol identiti dan warisan bangsa.

Afifuddin bersama lukisan berkisahkan tentang sejarah zaman penjajah Tanah Melayu.

Bagi seorang bapa kepada tiga orang cahaya mata, Afifuddin sentiasa menekankan kepada anak-anak muridnya bahawa tulisan Jawi hanyalah sistem tulisan, sama seperti tulisan Roman yang digunakan secara meluas hari ini.

“Saya selalu ingatkan anak murid saya, tulisan Jawi hanyalah satu sistem, sama seperti tulisan Roman. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu berbangga kerana memiliki sistem tulisan kita sendiri. Ini adalah sejarah kita, dan kita perlu mengakuinya,” katanya.

Tambah beliau, tidak ada sebab untuk mana-mana bangsa merasa takut atau menjauhkan diri daripada tulisan Jawi, kerana seni itu boleh dipelajari dan difahami oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira agama atau latar belakang.

“Saya sendiri pernah bertemu dengan orang-orang lama, dalam lingkungan umur 70-an, generasi datuk dan nenek kita daripada bangsa lain yang masih boleh menulis Jawi dengan cantik dan kemas,” kongsinya lagi.

Ikuti lebih banyak kisah menarik di sebalik lukisan-lukisan kaligrafi Jawi hasil tangan Muhammad Afifuddin dalam segmen Duduk Sembang di Majoriti.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram

Duduk Sembang, Khat, Seni, Tulisan Jawi, kaligrafi