Umpama Spa semula jadi, Kolam Air Panas Gadek jadi tumpuan keluarga


  • Nomad
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Hotspring Wellness and Spa Resort yang dahulunya dikenali sebagai Kolam Air Panas Gadek, kini tampil dengan wajah baharu.

MENCARI tempat untuk mandi kolam air panas sambil beriadah bersama seisi keluarga?

Jika anda merancang untuk bercuti di Melaka, singgah sebentar di Kampung Ganun, Mukim Gadek, Alor Gajah untuk menikmati keistimewaan kolam air panas semula jadi di sana.

Hotspring Wellness and Spa Resort, yang dahulunya dikenali sebagai Kolam Air Panas Gadek, kini tampil dengan wajah baharu dan suasana yang lebih mesra keluarga. 

BACA LAGI: Art of Speed 2025 kekal 'garang', simbol kekuatan dunia modifikasi permotoran

BACA LAGI: Pengalaman luar biasa buat peminat F1, Grand Prix Plaza bangkitkan adrenalin pengunjung 

Gazebo kolam air panas disediakan untuk memberi kemudahan kepada pengunjung.

Terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Melaka melalui laluan utama Melaka-Tampin, kolam-kolam di sini umpama spa atau sauna versi semula jadi yang lebih murah dan mudah diakses.

Kebanyakan pengunjung berpuas hati dan merasakan tubuh mereka lebih segar, ringan, serta tenang selepas berendam selama sejam atau dua jam. 

Selain kolam utama, terdapat juga kolam hiburan yang besar dan sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda.

Kolam tersebut masih menggunakan air panas semula jadi tetapi pada suhu yang lebih rendah demi keselamatan dan keselesaan pengunjung kecil.

Menurut sejarah, kolam air panas ini telah ditemui oleh penduduk setempat sejak zaman penjajahan British dan dipercayai digunakan untuk tujuan rawatan kesihatan. 

Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti sakit sendi, mandi air panas ini amat digalakkan kerana ia membantu melancarkan peredaran darah dan menenangkan otot-otot badan.

Waktu terbaik untuk menikmati kolam air panas ini adalah pada waktu malam, sekitar jam 7 malam hingga 12 tengah malam, apabila suasana lebih tenang dan kesan air panas lebih terasa.

Awal tahun ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam, menyatakan bahawa pembukaan semula kolam air panas ini memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan luar bandar di Melaka.

Beliau yakin bahawa Air Panas Gadek bakal menjadi salah satu destinasi pelancongan utama negeri ini.

Jadi, rancanglah perjalanan anda dan datanglah ke sini untuk menikmati pengalaman mandi kolam air panas yang menyeronokkan dan menenangkan. 

Seperti slogan popular masyarakat Melaka, “Mana lagi? Melaka ler,” ajakan ini pasti tidak mengecewakan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

 

Kolam Air Panas, Gadek, Melaka, mandi-manda