
NILAI karya seni lukis di Malaysia sebenarnya sudah mencapai tahap membanggakan, namun dari sudut penghargaan dan penghormatan terhadap pelukis tempatan, masih terdapat kekurangan berbanding negara jiran.
Inilah pemerhatian pelukis tempatan, Muhammad Emir Effendy Ahmad Lothfi, 28, yang melihat secara dekat budaya apresiasi seni di Indonesia ketika menjalani latihan amali selama tiga bulan di Jakarta dalam bidang Ijazah Seni Halus.
Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkongsi kekagumannya apabila melihat bagaimana masyarakat di sana amat menghargai karya asli.
BACA LAGI: Arena bola sepak negara belum stabil tapi Omar tetap latih anak demi bina karakter
BACA LAGI: Serik ditipu pomen, wanita asal Gerik buka sendiri bengkel Aida Misspomen
“Gambar-gambar yang tergantung di rumah-rumah mereka semuanya lukisan asli yang dilukis dengan tangan. Walaupun dibeli dengan harga yang agak murah, ia tetap merupakan karya tulen bukan cetakan atau produk kilang dari kedai RM2 atau beli atas talian,” katanya ketika ditemui Majoriti.
Mengangkat dunia automotif sebagai subjek utama dalam karya lukisannya, Emir turut berkongsi pengalaman perit dalam menjadikan hobinya sebagai kerjaya profesional.
Bagi Emir, seperti graduan seni lain, beliau juga menyimpan harapan agar hasil karyanya dapat dijual pada harga tinggi.
Namun, realitinya berbeza apabila lukisan pertama beliau hanya terjual dengan harga RM5.
“Masa itu saya letak harga RM50, tapi tak ada orang nak beli. Lepas saya cabut tanda harga, ada seorang pelanggan datang tanya harga. Saya kata, ikut seikhlas hati dia. Dia hulurkan RM5.
“Lama juga nak hadam fasa itu... makan tahun sebenarnya. Tipulah kalau saya cakap saya tak pernah impikan untuk jual lukisan beribu-ribu ringgit selepas tamat pengajian,” jelasnya.
Mengangkat dunia automotif sebagai subjek utama dalam karya lukisannya, Emir turut berkongsi pengalaman perit dalam menjadikan hobinya sebagai kerjaya.
Namun begitu, Emir percaya setiap perkara memerlukan proses dan kesabaran yang tinggi.
“Saya lalui fasa yang memang sukar pada mulanya, tapi kita kena percaya pada proses. Kita tak berhak minta lebih kalau masih belum punya pengalaman dan kemahiran yang cukup.
“Belum ada pelukis hebat yang saya kenal tak pernah melalui fasa sukar. Semua penuh dengan liku dan ujian.
Pelukis automotif, Emir Effendy menunjukkan karya tulennya di dalam acara permotoran tempatan.
“Jadi nasihat saya mudah, kalau nak jadi pelukis, jiwa kena kuat. Jangan cepat putus asa. Tak pandai tak apa, asalkan kita terus belajar dan jangan merasa diri sudah cukup bagus hingga mula menuntut sesuatu yang belum kita layak terima,” katanya penuh kias dan makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram