
SEMUA kanak-kanak pasti melalui zaman kartun tetapi adakah kartun ini mempengaruhi kehidupan mereka?
Pengalih suara Tarzan, Mohd Shawalludin Fitri Mohd Taha atau lebih dikenali sebagai Charl Fitri, 45, berpendapat, kartun adalah platform mendidik terbaik dan tidak mempunyai pengaruh negatif asalkan ada kawalan ibu bapa.
“Jika ibu bapa kata kartun ini tak bagus atau tidak mendidik, secara peribadi saya sangkal dakwaan itu kerana kartun merupakan edutainment dan hanya perlukan pemantauan ibu bapa kerana kanak-kanak mudah terpengaruh.
BACA LAGI: Arena bola sepak negara belum stabil tapi Omar tetap latih anak demi bina karakter
BACA LAGI: Serik ditipu pomen, wanita asal Gerik buka sendiri bengkel Aida Misspomen
“Apatah lagi dengan naskah animasi kartun, dulu ibu bapa saya tidak menghalang, namun mesti ada batas.
“Contohnya gunakan perkataan yang baik dan dengar perkataan yang bagus. Jangan ikut benda yang tak elok,” katanya.
Pengalih suara Tarzan Malaysia, Charl Fitri.
Seperti karakter Tarzan itu sendiri yang tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek, Charl menekankan pentingnya ibu bapa untuk tahu tentang kaedah Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECE).
“Pembentukan pemikiran kanak-kanak amat penting, ia berbalik kepada bimbingan ibu bapa. Jika dapat kesan awal sesuatu yang berpotensi untuk mempengaruhi perkara tak baik, cepat-cepat nasihatkan anak tentang karakter kartun itu agar tak jadi ikutan,” nasihatnya.
Ruhaiyah Ibrahim amat mementingkan pengunaan bahasa mengikut budaya dan kesesuaian masyarakat di Malaysia.
Sementara itu, pengalih suara Doraemon, Ruhaiyah Ibrahim, 59, berkata, ibu bapa tidak perlu membudayakan kartun daripada sumber asal.
Sebaliknya, sebagai pengalih suara kartun dari Jepun itu, dia sendiri diminta untuk memilih dan menapis perkataan yang sesuai untuk masyarakat di Malaysia.
“Jangan sesekali membudayakan kartun mengikut kartun asal. Ini penting, kerana saya sendiri diminta oleh syarikat rakaman untuk menggunakan bahasa dan lenggok yang sesuai dengan adat Timur kerana karya asal amat bertentangan dengan budaya Malaysia," katanya.
Ibu kepada lima orang cahaya mata itu turut berpesan, zaman dahulu hiburan sangat berbeza dengan sekarang kerana ledakan teknologi.
“Dulu kita nak tengok televisyen kena tunggu ramai-ramai, bila ada aksi dewasa cepat kita tutup mata anak, sekarang lain.
“Asasnya kena waspada, misalnya anak bongsu saya sendiri, saya nampak dia memang lain sikit dari adik-beradik yang lain. Iyalah dia lahir zaman teknologi, ada telefon, tab dan sebagainya. Kadang-kadang tengok cerita kartun sorang-sorang dalam bilik pun takpa.
“Saya sebagai ibu kena sentiasa pantau dan selalu tanya tengok apa tu?," jelasnya.
Ikuti kupasan lanjut Tarzan dan Doraemon Malaysia tentang aspek pengaruh kartun terhadap perkembangan minda anak dalam segmen Duduk Sembang di Majoriti.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram