Lima stesen kereta api penuh seni, sejarah luar biasa


  • Nomad
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Jika anda seorang pengembara yang menghargai sejarah, seni dan budaya, lima stesen kereta api ini semestinya harus berada dalam senarai destinasi anda.

BAGI pengembara yang gemar meneroka negara luar, kereta api sering menjadi pilihan utama kerana suasana perjalanannya yang unik. 

Tidak seperti kapal terbang, kereta atau kapal laut, kereta api menawarkan pemandangan yang memukau dari luar tingkap dan pengalaman yang lebih santai.

Tahukah anda, terdapat beberapa stesen kereta api di dunia yang bukan sahaja menjadi pusat pengangkutan, malah memiliki nilai sejarah tinggi serta keindahan seni bina yang menakjubkan? 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan gadis litar biasa-biasa', Maaya Orido teruskan legasi JDM

BACA LAGI:  Pengalaman luar biasa buat peminat F1, Grand Prix Plaza bangkitkan adrenalin pengunjung

Direka dengan penuh teliti dan dilengkapi fasiliti moden, lima stesen berikut wajib anda singgahi jika ingin menyusuri jejak sejarah sambil menikmati keindahan seni bina luar biasa.

 

1. Estación de Atocha – Madrid, Sepanyol

Dibuka pada tahun 1851, Estación de Atocha merupakan stesen kereta api utama di Madrid dan menjadi hab kepada perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi AVE (Alta Velocidad Española).

Apa yang menjadikannya unik ialah taman tropika dalaman yang menempatkan lebih 7,000 tumbuhan dari pelbagai spesies. Gabungan antara seni bina bersejarah dan kehijauan alam menjadikan suasana stesen ini sangat memukau.

Namun, Atocha juga menyimpan sejarah kelam apabila menjadi sasaran serangan pengganas pada 11 Mac 2004 yang mengorbankan 191 nyawa. Sebuah monumen telah didirikan berdekatan stesen bagi memperingati tragedi tersebut.

 

2. Antwerpen-Centraal – Antwerp, Belgium

Stesen Antwerpen-Centraal bukan sekadar pusat pengangkutan, malah merupakan mahakarya seni bina yang menjadi simbol kebanggaan Belgium.

Direka oleh arkitek Belanda, Louis Delacenserie, bangunan ini mempamerkan gabungan gaya seni bina yang mengagumkan.

Kubah besar, ruang menunggu yang dihiasi marmar, serta struktur yang kelihatan seperti istana menjadikan stesen ini tampak seperti gereja agung daripada sebuah terminal kereta api.

 

3. Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus – Mumbai, India

Terletak di tengah kota Mumbai, Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus adalah antara stesen kereta api paling sibuk dan bersejarah di India.

Dibina pada era kolonial British dan dikenali sebagai Victoria Terminus sebelum ditukar nama pada 1996, stesen ini merupakan simbol penting dalam warisan kolonial India serta seni bina Gothic Victoria. Ia juga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 2004.

Lebih daripada sekadar tempat berlepas dan tiba, stesen ini melambangkan nadi kehidupan kota Mumbai yang dinamik dan penuh sejarah.

 

4. Gare du Nord – Paris, Perancis

Stesen kereta api paling sibuk di Paris dan antara yang terbesar di Eropah, Gare du Nord bukan sahaja penting dari segi fungsi, tetapi juga menonjol sebagai monumen seni bina bersejarah.

Dibuka pada tahun 1864, bangunan ini dibina dalam gaya neoklasik dan dihiasi dengan 23 patung alegori yang mewakili bandar-bandar utama Eropah.

Menariknya, stesen ini juga pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa filem Hollywood terkenal seperti The Bourne Identity dan Mission: Impossible.

 

5. Sao Bento – Porto, Portugal

Sao Bento, yang terletak di kota Porto, adalah antara stesen kereta api tercantik di dunia. Dibuka pada tahun 1916, stesen ini terkenal dengan dinding-dindingnya yang dihiasi lebih 20,000 keping  jubin seramik biru putih tradisional Portugal.

Azulejos ini merupakan karya artis Jorge Colaço dan mengambil masa hampir 11 tahun untuk disiapkan. Setiap keping jubin menggambarkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah negara, termasuk Pertempuran Valdevez dan Penaklukan Ceuta.

Jika anda seorang pengembara yang menghargai sejarah, seni dan budaya, lima stesen kereta api ini semestinya harus berada dalam senarai destinasi anda.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram