Revolusioner dunia muzik elektronik, aksi MotoGP bakal gegar Sepang


  • Hobi
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Berlatarbelakangkan kehangatan hujung minggu MotoGP, kolaborasi luar biasa ini bakal menghidupkan suasana penuh tenaga serta adrenalin.

TIGA rangkaian muzik elektronik bertaraf antarabangsa bakal menggamatkan Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC) sempena Petronas Grand Prix Malaysia 2025 pada 18 dan 19 Oktober 2025.

Bertempat di kawasan ikonik Helipad, Sepang, Festival Muzik HardTech & Trance anjuran HiFive Entertainment menggabungkan gaya hidup dan budaya dunia permotoran seiring dengan perkembangan muzik elektronik di Malaysia.

Berlatarbelakangkan kehangatan hujung minggu MotoGP, kolaborasi luar biasa ini bakal menghidupkan suasana penuh tenaga serta adrenalin, menyatukan peminat sukan permotoran dan pencinta muzik dari seluruh dunia.

BACA LAGI: Ubat makan habis ya! pentingnya ambil ubat ikut arahan doktor 

BACA LAGI: Art of Speed 2025 kekal 'garang', simbol kekuatan dunia modifikasi permotoran

Persembahan Sub Zero Project antara kumpulan artis yang bakal menampilkan persembahan di Helipad, Sepang, Selangor.

Festival ini menjadi penanda aras revolusi dalam dunia muzik elektronik dengan penampilan sulungnya di Malaysia yang menampilkan gabungan teknologi, muzik dan budaya. Pengunjung berpeluang menikmati ciptaan futuristik dan visual imersif sambil mendalami irama muzik tersebut.

Acara ini menampilkan 20 figura terkenal dalam dunia muzik tarian elektronik antaranya, Deejay Ben Nicky, Sub Zero Project dan banyak lagi.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan usaha kerjasama strategik bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai langkah proaktif dalam membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia serta memastikan aktiviti hiburan berlangsung dalam persekitaran yang selamat.

 

Suasana MotoGP di SIC tahun lepas begitu menghangatkan suasana.

Antara tatacara pengendalian piawai (SOP) yang ditekankan ialah pengenalan ‘Hydration Point’ untuk mengatasi risiko dehidrasi, penyediaan pasukan perubatan untuk kes kecemasan, serta paparan maklumat mengenai bahaya dadah.

“Penambahbaikan SOP penganjuran konsert ini merupakan tindakan baharu yang diwajibkan kepada penganjur konsert muzik elektronik, terutamanya yang melibatkan fasiliti milik KBS.

“Ia juga termasuk perkongsian jadual konsert bulanan bersama Polis Diraja Malaysia, KKM dan Agensi Antidadah Kebangsaan,” jelas beliau.

Selain itu, hospital berdekatan juga dikehendaki bersiap sedia mengendalikan sebarang insiden semasa konsert, manakala penempatan unit anjing pengesan turut diatur bagi memastikan kawalan keselamatan yang optimum.

Justeru, rancang perjalanan anda dan hadirkan diri ke SIC untuk menikmati detik paling mendebarkan dan meresap di tengah-tengah Asia Tenggara.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram