Sesaat terlelap, nyawa melayang


  • Relaks
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Jangan sesekali memaksa diri untuk terus memandu jika tubuh memberi isyarat keletihan.

TERLELAP seketika semasa memandu atau dikenali sebagai microsleep, bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

Fenomena ini berlaku apabila seseorang tertidur secara tiba-tiba selama satu hingga 30 saat tanpa disedari. Walaupun kelihatan singkat, ia mampu menyebabkan tragedi yang tidak diduga.

Tidak kira siang atau malam, banyak kemalangan maut telah direkodkan akibat daripada microsleep ketika memandu. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan gadis litar biasa-biasa', Maaya Orido teruskan legasi JDM

BACA LAGI: RC trak realistik, juruteknik sanggup labur RM20,000 demi trek impian komuniti

 

Pemandu berisiko hilang kawalan terhadap kenderaan termasuk menekan atau melepaskan pedal minyak.

Dalam keadaan ini, pemandu berisiko hilang kawalan terhadap kenderaan termasuk menekan atau melepaskan pedal minyak secara tidak terkawal dan tersasar dari laluan sebenar.

Akibatnya, kenderaan boleh terbabas, melanggar pembahagi jalan atau bertembung dengan kenderaan lain.

Situasi ini bukan sahaja mengancam nyawa pemandu, malah turut membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Punca utama? Tubuh yang terlalu penat, lesu, dan masih dipaksa untuk meneruskan pemanduan atas pelbagai alasan.

Langkah Pencegahan Microsleep

1. Dapatkan rehat secukupnya: Tidurlah 7 hingga 8 jam sebelum memulakan perjalanan jauh.

2. Berhenti dan berehat: Jika rasa mengantuk, berhenti seketika di kawasan Rehat & Rawat untuk tidur sebentar atau sekurang-kurangnya meregangkan badan.

3. Ambil minuman berkafein atau tenaga: Ia boleh membantu menyegarkan semula tubuh buat sementara waktu.

4. Gunakan sistem sokongan: Pasangkan muzik ringan atau berbual dengan penumpang bagi mengekalkan kesedaran.

5. Elakkan memandu seorang diri dalam perjalanan jauh jika boleh.

Ingat! Jangan sesekali memaksa diri untuk terus memandu jika tubuh memberi isyarat keletihan dan jangan kerana ingin cepat sampai, nyawa dipertaruhkan.

Microsleep mungkin hanya berlaku sesaat, tetapi kesannya boleh berpanjangan bahkan meragut nyawa.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram