Ubat makan habis ya! pentingnya ambil ubat ikut arahan doktor 


  • Relaks
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Pengambilan antibiotik adalah untuk membasmi jangkitan bakteria secara menyeluruh dalam badan.

LAZIMNYA apabila jatuh sakit, biasanya kita akan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital serta diberikan ubat untuk pemulihan.

Namun, tidak dapat dinafikan terdapat segelintir individu yang kurang gemar mengambil ubat, terutama antibiotik. 

Frasa “makan habis ya” seringkali didengar ketika pesakit menerima ubat di kaunter farmasi atau klinik.

Namun, menjadi masalah apabila ubat diberikan tidak dihabiskan seperti disarankan oleh pihak perubatan, malah ada yang membuang baki ubat tersebut secara tidak bertanggungjawab, terutama bagi ubat kategori terkawal.

BACA LAGI: Seni kaligrafi khat: Saksi kemerdekaan, warisan terus hidup

BACA LAGI: Pengalaman luar biasa buat peminat F1, Grand Prix Plaza bangkitkan adrenalin pengunjung 

 

Antibiotik tergolong dalam kategori ubat terkawal.

Pesakit wajib menghabiskan ubat antibiotik mengikut jadual dan tempoh yang ditetapkan. Sikap menyimpan ubat untuk digunakan kemudian atau berhenti mengambil ubat apabila sudah merasa sihat, adalah amalan yang amat tidak digalakkan.

Antibiotik tergolong dalam kategori ubat terkawal dan penggunaan yang betul amat dititikberatkan oleh doktor, ahli farmasi dan orang awam bagi mengelakkan kesan negatif akibat penggunaan yang salah.

Mengapa antibiotik begitu penting? Ini kerana antibiotik direka khas untuk merawat jangkitan bakteria dengan dos yang tepat dan dalam tempoh yang sesuai.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antibiotik berfungsi untuk merawat atau mencegah jangkitan bakteria, dan kadang-kala juga jangkitan protozoa.

Selain itu, antibiotik turut digunakan sebagai langkah pencegahan (profilaktik) bagi individu yang berisiko tinggi, seperti mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Dalam erti kata lain, pengambilan antibiotik adalah untuk membasmi jangkitan bakteria secara menyeluruh dalam badan.

Oleh itu, kepatuhan mengambil ubat mengikut arahan adalah kunci utama untuk keberkesanan rawatan dan mencegah masalah seperti kekebalan antibiotik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

antibiotik, KKM, sakit, ubat, PSA