RC trak realistik, juruteknik sanggup labur RM20,000 demi trek impian komuniti


  • Hobi
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Ke semuanya berkonsepkan daripada kenderaan sebenar dan memupuk hobinya itu sebagai masa untuk melepaskan tekanan.

MINAT mendalam terhadap kenderaan berat seperti trak, lori dan traktor  mendorong seorang juruteknik Mohamad Ridzuan Mohd Tahir, 36, membina dunia alat kawalan jauh (RC) versi kenderaan sebenar.

Baginya ia bukan sekadar hobi, tetapi terapi peribadi untuk ketenangan diri. Berbeza daripada permainan RC biasa, Ridzuan memfokuskan pada kenderaan berat yang direka dengan ketelitian tinggi.

Antara koleksi miliknya termasuk lori tangki minyak Shell, bas Rapid KL dan pelbagai lagi yang kesemuanya diinspirasikan daripada model sebenar.

 

 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan gadis litar biasa-biasa', Maaya Orido teruskan legasi JDM

BACA LAGI: Pengalaman luar biasa buat peminat F1, Grand Prix Plaza bangkitkan adrenalin pengunjung

 

Miniatur dan lori tangki minyak yang dibuat sendiri oleh Ridzuan.

“RC trak ini ‘slow and steady’. Bukan soal siapa paling laju, tapi lebih kepada kepuasan mendengar bunyi enjin dan melihat pergerakan yang realistik, sama seperti lori sebenar, katanya.

Ridzuan mula serius dalam hobi ini selepas membeli lori kawalan jauh terpakai dengan harga RM4,500.

Sejak itu, dia semakin gigih memperluas koleksi dan minatnya, hingga sanggup melabur hampir RM20,000 untuk membina sebuah trek khas di halaman rumahnya.

Trek tersebut bukan sekadar tempat bermain, tetapi juga platform untuk mengumpulkan komuniti peminat RC kenderaan berat di seluruh negara.

“Keseronokannya sukar digambarkan. Apabila enjin dihidupkan dan lori mula bergerak, rasa puas itu hadir secara automatik,” ujar Ridzuan.

 

Suasana trek yang dibina sendiri oleh Ridzuan di kawasan halaman rumahnya.

Bagi pensyarah dan rakan hobi, Mohd Helmi Salleh, 43, setiap rekaan trak RC perlu melalui proses pemerhatian dan kajian teliti terhadap model sebenar.

“Sebelum saya bina sesuatu model, saya akan cari lori sebenar, duduk dalamnya dan perhatikan bagaimana pemandunya mengendalikannya. 

"Kami tiru setiap perincian dari pelekat hingga struktur dalaman supaya hasil akhirnya benar-benar realistik,” jelas Helmi.

Tambah beliau, proses membina trak RC ini memerlukan pengukuran terperinci, termasuk menyesuaikan setiap inci kenderaan asal kepada versi skala miniatur.

Kini, trek RC milik Ridzuan bukan sahaja menjadi tempat beraksi, tetapi juga menjadi pusat himpunan peminat kenderaan RC berat yang berkongsi minat sama.

Tonton video penuh keseronokan RC trak, lori dan traktor dalam segmen Hobi di Majoriti.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

RC, Traktor Malaysia, Lori, Hobi, trak