[VIDEO] Tarzan, Doraemon 'cuci bahasa kartun ori' demi adab anak Malaysia


  • Relaks
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Charl menegaskan bahawa gaya dan nada suara perlu berkembang seiring perubahan masa

 

 

PENGGUNAAN bahasa dalam rancangan animasi di televisyen memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kanak-kanak, khususnya ketika mereka sedang melalui fasa perkembangan awal yang mudah terpengaruh dengan apa yang ditonton dan didengar.

Itulah tanggungjawab besar yang dipikul oleh pengalih suara watak kartun terkenal Doraemon, Ruhaiyah Ibrahim, 59, yang telah berkecimpung dalam industri ini lebih dua dekad.

Menurutnya, proses alih suara bukan sekadar menterjemah skrip dari bahasa asal kepada Bahasa Melayu.

“Beberapa lapisan dan tapisan perlu dilakukan selepas sesuatu ayat diterjemahkan. Kalau kita guna maksud asal daripada karya luar, memang banyak yang tidak sesuai ada yang negatif dan lucah,” katanya.

 

 

 

 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan gadis litar biasa-biasa', Maaya Orido teruskan legasi JDM

BACA LAGI: Pengalaman luar biasa buat peminat F1, Grand Prix Plaza bangkitkan adrenalin pengunjung

Ruhaiyah dan Charl menyahut cabaran untuk pastikan dialog diterima generasi baharu, tanpa menjejaskan bahasa asal.

Cabaran terbesar dalam dunia alih suara adalah menyesuaikan kandungan kartun dari budaya luar, terutamanya dari Jepun seperti siri animasi Shin Chan, yang sering mencetuskan kontroversi.

“Shin Chan memang banyak ayat perlu ditapis. Contohnya, bila watak itu melihat gadis cantik, dalam dialog asal, perkataan-perkataan yang digunakan sangat kurang sopan,” katanya.

Siri animasi Shin Chan antara kartun yang sering mencetuskan kontroversi dalam penggunaa bahasa.

Namun begitu, pengalih suara perlu bijak menyusun semula ayat tanpa mengubah maksud dan kesinambungan cerita.

“Kalau kita ikut skrip asal 100 peratus, orang Malaysia boleh terkejut dengar makna sebenarnya,” tambah Ruhaiyah.

Bagi pengalih suara watak Tarzan, Mohd Shawalludin Fitri Mohd Taha atau lebih dikenali sebagai Charl Fitri, 45, cabaran terletak pada bagaimana menyesuaikan dialog dengan generasi baharu, tanpa menjejaskan bahasa asal.

“Zaman sekarang, ada banyak perkataan moden yang pelik-pelik direka oleh generasi baharu, tapi kami tak boleh guna sesuka hati. Namun dari segi intonasi, boleh diubah mengikut kesesuaian,” katanya.

Charl turut menegaskan bahawa gaya dan nada suara perlu berkembang seiring perubahan masa, kerana penonton kini lebih pelbagai dan semakin matang.

“Bunyi suara memang tak boleh sama sangat macam dulu. Kanak-kanak hari ini adalah generasi baharu dengan citarasa berbeza,” jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram