SERINGKALI kita melihat visual atau informasi di sosial media tentang bangunan peninggalan seperti rumah bersejarah, istana lama yang sudah tidak digunakan dan seumpamanya.
Disebalik binaan tersebut pastinya memiliki 1001 cerita apatah lagi jika ia sudah buruk dan tidak berpenghuni.
Sepertimana dalam sebuah hantaran yang dikongsikan di Facebook @Malay Discovery’s, Kuala Nerus, Terengganu menyimpan sebuah istana lama dikenali sebagai Pura Tanjung Sabtu yang digelar ‘Istana Kayu’ yang terbiar di Kuala Nerus.
BACA LAGI: Genting Highland syurga flora, taman botani terbesar Eufloria tarik pengunjung menjelang TMM 2026

Keadaan di dalam istana yang sudah usang.
Ia dikatakan sebuah kediaman kayangan yang terletak di tebing Sungai Nerus. Istana tersebut juga bukanlah dibina daripada batu mamar atau simen, tetapi kayu cengal tua yang menghidupkan binaan tersebut.
Pada tahun 1990-an, seorang putera berjiwa seniman, Allahyarham Tengku Ismail Tengku Su, membawa pulang rumah-rumah Melayu berusia ratusan tahun itu dengan menyatukan pasak tanpa sebatang paku dan menegakkan tiang seri yang penuh ukiran kerawang.
Malahan ia dahulunya menjadi nadi budaya Terengganu. Bunyi ketukan proses pembuatan tenun songket juga dibuat di situ, menghasilkan kain mastuli yang halus buatan tangannya sehingga memukau mata dunia, dari pelancong Eropah hingga ke juri Aga Khan (komuniti pakar penjurian).
Betapa tingginya tamadun senibina Melayu Langkasuka ketika itu namun, sayangnya ia tidak kekal abadi.
Apabila 'Putera Songket' itu mangkat pada 2011, diceritakan suasana ketika itu mula suram, rumput mula meninggi dan kayu-kayu istana mula dimakan anai-anai, kini sunyi ditelan zaman.
“Ia adalah monumen bisu yang mengingatkan kita, warisan bangsa itu mahal harganya.
“Jika tidak dijaga, ia akan reput kembali menjadi tanah, membawa segala memori kegemilangannya pergi buat selamanya,” ujar kenyataan tersebut menerusi kapsyen di hantaran tersebut.
Persoalan yang timbul, mengapa warisan tersebut tidak dipulihkan sedangkan negara bermegah dengan bangunan pencakar langit? Adalah kita bangsa yang sudah lupa pada akar, atau sekadar tidak peduli?

Tangkap layar ruanga komen.
Perkongsian tersebut berjaya menarik perhatian warga net yang berkongsi pelbagai pandangan dan perspektif terhadap istana tersebut.
“Di Malaysia jangan berasa pelik, bangunan tinggalan penjajah dijaga dan dihiasi cantik, bangunan sejarah bangsa atau kesultanan dibiarkan reput.
“Bangunan penjajah diberikan keutamaan, bangunan bangsa dibiarkan mamah usia, inilah Malaysia kita,” ujarnya pengguna media sosial @Azmin Shamreen Azmeera Aishaa.
“Pihak muzium negeri sepatutnya ambil alih dan kembalikan zaman kegemilangan tersebut,” cadang seorang pengguna @Norhayati Bidin di ruangan komen.
Selain itu terdapat juga seorang individu yang berkongsi pengalaman dirinya yang sempat hadir ke sana ketika istana tersebut masih cantik sewaktu kecil dahulu.
“Saya sempat pergi masa zaman kecil-kecil dengan arwah abah dulu, ziarah pemiliknya. Masa itu Pura ini masih terjaga, cantik dengan lamannya yang damai, masih terpahat di ingatan. Orang luar tak boleh buat apa sebab ia ada pewaris,” ujar @Nurfa Bella.
Secara umumnya, sesebuah baik pulih binaan perlu dipersetujui dengan waris yang masih hidup, namun mungkin juga ada sebab tertentu yang menyebabkan istana tersebut tidak dibaiki pulih.
Namun, pada hakikatnya, ia adalah sebuah warisan yang perlu kita dilindungi dan sanjungi.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
