TRAFIK di sepanjang Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur telah merosot daripada tahap B (boleh diuruskan) kepada tahap F, iaitu merujuk kepada gagal dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Penduduk Happy Garden, Evelyne Low berkata, dia kini mengambil masa lebih 40 minit untuk memandu, walhal dahulunya hanya mengambil masa lapan minit selepas melepasi kawasan MidValley Megamall.
“Saya bimbang dengan Akta Pembaharuan Bandar yang bakal dilaksanakan, pembangunan semula tanpa kawalan akan menekan tahap kesesakan ke arah kritikal.
“Kecuali kajian trafik yang tepat digabungkan dengan pelan pengangkutan dan penyuraian yang bersepadu serta penyelesaian sebenar di lokasi kesesakan yang telah kita alami bertahun-tahun,” kata Low.

Evelyne Low.
Low menegaskan bahawa pengangkutan awam dan infrastruktur sokongan seharusnya bergerak seiring.
“Parkir di stesen MRT Kuchai penuh sesak dan kereta mula diparkir di tepi jalan. Kita selalu menggesa orang ramai menggunakan pengangkutan awam, tetapi stesen-stesen itu tidak mempunyai fasiliti untuk menyokong perubahan itu.
“Jika kita tidak dapat menyediakan parkir yang mencukupi untuk pengguna, bagaimana kita mahu mereka meninggalkan kereta dan menaiki tren?” soalnya.

Daniel Charles.
Pengerusi Fairview Mansion Apartment, Daniel Charles, mengimbau salah satu kesesakan terburuk iaitu pergerakan 800 meter yang mengambil masa 40 minit dari Jalan Gembira ke persimpangan Jalan Klang Lama, berhampiran tapak bekas Plaza OUG.
Beliau meletakkan kesalahan itu kepada kontraktor utiliti yang bekerja berhampiran 4th Mile Jalan Klang Lama.
Mereka gagal menyiapkan kerja penggalian pada malam hari dan terpaksa meneruskan kerja keesokan paginya. Ia menyebabkan kesesakan besar di jalan utama dan jalan dalam.
“Jalan Klang Lama telah diperluas berkali-kali sejak 1980-an, namun masih berlaku tanpa perancangan yang betul.
“Dengan setiap pengembangan, laluan jalan bergeser lebih ke luar meninggalkan banyak kabel utiliti asal terkubur di tengah jalan sekarang.
“Apabila kontraktor mula menggali dan gagal menyiapkan kerja tepat pada masanya, seluruh laluan terhenti keesokan paginya,” kata Charles.
Charles berkata, kekurangan penguatkuasaan di persimpangan utama iaitu bahagian jalan yang sempit dan koordinasi yang lemah antara agensi.
Ditambah lagi dengan rangkaian pengangkutan awam tanpa sambungan 'last-mile', telah menjadikan koridor itu mimpi ngeri yang perlu dihadap setiap hari.
“Tiada pelan penyuraian trafik yang betul, tiada pengangkutan bersepadu dan tiada penguatkuasaan. Inilah resipi untuk kesesakan total,” ujarnya.
Beliau menekankan beberapa kawasan kritikal dari kawasan 3rd Mile Square ke persimpangan Taman Desa, Kuchai Lama, Pearl Point, Jalan Gembira dan Jalan Puchong, menuju ke Taman Sentosa dan Taman Kanagapuram di Petaling Jaya amat memerlukan kawalan trafik yang lebih baik.
Beliau juga menegaskan bahawa sebarang pembangunan semula pada masa hadapan mesti disertakan dengan pelan pengurusan trafik yang betul.
Atau risikonya, pembinaan itu akan melumpuhkan keseluruhan koridor tersebut.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Seputeh (MPPWP) Zon 6, Alvin T. Ariaratnam, bersetuju dengan Charles, sambil menambah bahawa dengan bilangan pembangunan baru yang semakin banyak di sepanjang koridor itu, persimpangan-persimpangan tersebut amat memerlukan polis trafik bagi memastikan kenderaan bergerak lancar.
“Jika kita boleh meletakkan sekurang-kurangnya dua penguat kuasa di setiap lokasi dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi, ia akan banyak membantu mengurangkan kesesakan,” katanay sambil menegaskan bahawa perancangan yang betul disokong oleh data amat kurang.
“Kita memerlukan peta yang lebih baik dan kajian trafik serta alam sekitar yang lebih kukuh, semuanya dari Penilaian Impak Trafik (Traffic Impact Assessment) hingga laporan saliran.
“Kondominium tempat saya tinggal, bersempadan dengan Puchong dan Kuala Lumpur. Kami tersekat dalam kesesakan harian kerana perancangan yang lemah. Semua orang menderita kerana ini,” kata Alvin.

Wong Chan Choy.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa, Wong Chan Choy, meluahkan rasa berat hati untuk meninggalkan rumah sebelum pukul 9 pagi, kerana kesesakan trafik di sekitar kawasan kejiranannya sudah tidak tertanggung.
“Setiap pagi, tersekat dalam trafik, betul-betul menyebabkan saya tertekan,” katanya.
Beliau berkata, kesesakan yang semakin teruk di sepanjang Jalan Klang Lama, berpunca daripada bertahun-tahun pembangunan tanpa kawalan dan perancangan yang lemah.
“Di mana sahaja anda melihat, ada pencakar langit baru yang sedang dibina. Terdapat lebih banyak tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan.
“Masalahnya, semuanya dibuat untuk masa sekarang sahaja. Bina, jual dan teruskan, tanpa memikirkan masa depan.
“Keupayaan laluan jalan dan infrastruktur sudah pun tertekan. Jika kita tidak dirancang dengan bentul, kesesakan hanya akan menjadi lebih teruk,” tegasnya.
Wong berkata, penanda aras yang jelas perlu ditetapkan sebelum projek berintensiti tinggi diluluskan.
“Pemaju tidak boleh hanya membina dan terus bergerak. Ia mestilah ada pemeriksaan bagi memastikan infrastruktur, jalan, saliran dan utiliti boleh menampung beban sebenar.
“Kalau tidak, bandar ini akan sesak sebelum proses pembaharuan bermula,” katanya.— The Star/ BAVANI M
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
