PERANTI dron kini menjadi sebuah alat yang menjadi kegilaan ramai dan banyak dijual di kedai gajet. Sama ada jenama dari China atau negara Eropah, teknologi tersebut mempunyai sistem dan kecanggihan yang tersendiri.
Daripada yang murah sehinggalah paling mahal, rata-rata pengguna terutamanya pencipta kandungan video sanggup berbelanja ribuan ringgit (bergantung kepada kualiti dan keupayaan terbang) demi mendapatkan alat tersebut yang dikatakan sebagai lensa ‘mata burung’.
Akan tetapi tahukah anda terdapat undang-undang tertentu yang wajib diketahui dan patuhi sebelum menerbangkan alat berbilah itu ke udara.
BACA LAGI:Lampu LED moden antara rahsia jimat tenaga akuarium dan terrarium yang anda perlu tahu

Peraturan dan undang-undang dicipta bagi memastikan keselamatan ruang udara, negara, orang awam dan melindungi privasi.
Bahkan, perlu diingat, lain negara lain pula peraturannya, jadi semak betul-betul supaya anda tidak melanggar undang-undang berkenaan.
Menerbangkan dron mungkin kelihatan mudah, tetapi realitinya ia bukan sekadar berseronok dengan menjadikan langit sebagai taman permainan.
Di negara-negara ASEAN, walaupun penggunaan dron dibenarkan, ia datang dengan sekatan tertentu, protokol dan tanggungjawab undang-undang yang jelas yang perlu dipatuhi oleh penggemar hobi itu.
Peraturan tersebut direka untuk memastikan keselamatan ruang udara, negara, orang awam dan melindungi privasi.
Sebelum berlepas, terdapat senarai semak yang perlu diikuti yang merujuk kepada tahap ketinggian permit atau lesen yang diperlukan.
Kegagalan mematuhi peraturan tempatan boleh menyebabkan masalah undang-undang.
Berikut adalah peraturan utama bagi lima destinasi popular ASEAN:
Malaysia
Ketinggian maksimum biasanya tidak melebihi 120 meter. Permit diperlukan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Tiada permohonan dalam talian, pengendali dron hanya boleh dilakukan secara manual sahaja. Terbang tanpa kelulusan boleh mengakibatkan denda RM50,000 dan rampasan dron.
Singapura
Ketinggian maksimum untuk penggunaan rekreasi ialah kira-kira 60 meter.
Dron yang melebihi 250 gram mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Permit diperlukan untuk dron lebih berat atau penerbangan berhampiran zon terhad atau pelabuhan udara.
Pendaftaran permit boleh dibuat secara dalam talian.
Indonesia
Ketinggian maksimum ialah 150 meter.
Tiada lesen diperlukan untuk dron di bawah 2 kilogram (kg) dan digunakan sebagai hobi.
Dilarang terbang berhampiran lapangan terbang, zon terhad atau di luar waktu operasi siang. Selain itu, pandangan visual perlu dikekalkan dan penerbangan mesti dilakukan sekurang-kurangnya 15 kilometer dari lapangan terbang.
Thailand
Ketinggian maksimum ialah 90 meter.
Semua dron yang dilengkapi peralatan rakaman atau mempunyai berat lebih daripada 2kg perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) dan Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Negara (NBTC).
Permohonan dalam talian boleh dibuat melalui portal UAS CAAT. Penerbangan hanya dibenarkan pada waktu siang, antara pukul 6 pagi hingga 6 petang.
Vietnam
Ketinggian maksimum ialah 120 meter.
Operator asing mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu, kerana peraturan ini sangat ketat.
Kelulusan permohonan mengambil masa antara 7 hingga 14 hari bekerja dan mesti diperoleh sebelum memasuki negara. —The Star/EDDIE CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
