Genting Highland syurga flora, taman botani terbesar Eufloria tarik pengunjung menjelang TMM 2026


  • Nomad
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Taman botani itu dijangka siap dan dibuka pada pertengahan pertama 2026.

MANA lagi lokasi yang popular jika hendak mencari kawasan taman bunga dengan suasana sejuk kalau bukan di Cameron Highland. Mungkin juga sesetengah dari rakyat Malaysia sudah terlalu biasa dengan lokasi tersebut.

Akan tetapi, tahun depan landskap pelancongan berkonsepkan flora bakal mengejutkan anda dengan pembukaan taman botani baharu di Genting Highland, Pahang, yang pasti memukau mata pengunjung.

Resorts World Genting (RWG) baru-baru ini mengumumkan jalinan kerjasama dengan Tourism Malaysia menerusi pembukaan Eufloria di Resorts World Awana, sebagai tarikan ekopelancongan dan edupelancongan terbaharunya.

BACA LAGI: Esplanade Pulau Pinang tawar tarikan interaktif terbaharu, cahaya laser warnai setiap langkah di Linear Park

BACA LAGI: Replika bongkah Ferrari F50 pertama di dunia mendarat di Malaysia, tarikan percutian keluarga terbaharu di Legoland Johor

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), dengan mempamerkan pelbagai jenis flora di kawasan seluas 12.5 ekar.

Pembinaan Eufloria seiring dengan festival bunga tahunan sulung RWG iaitu BUNGA 2026.

Eufloria menggabungkan hortikultur, seni dan konsep pemuliharaan alam semula jadi yang menjanjikan sebuah pengalaman indah dengan penanaman lebih 1,000 jenis tumbuhan dan bunga.

Bahkan, menariknya terdapat flora yang akan ditanam mengikuti musim tertentu bagi memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung. 

Bertemakan pengalaman botani yang pastinya berbeza dari tempat lain, kompleks rumah hijau itu membentuk empat rumah kaca bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan suasana di sana.

Malah, ia merupakan kompleks hijau terbesar yang pernah ada di Malaysia dan mampu menampung sehingga 8,000 pengunjung pada satu-satu masa. 

Majlis lawatan eksklusif Eufloria itu diadakan pada Jumaat dengan dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing.

Menurutnya, taman botani tersebut menjadi salah satu cabang baharu yang menarik di Genting Highland dalam sektor pelancongan selain daripada elemen hiburan yang ada GWR.

Peta salah satu rumah kaca yang akan dipenuhi dengan tanaman bunga orkid.

Taman bukan sahaja memperlihatkan keindahan tumbuhan yang cantik, malah membuktikan kesuburan tanah di Genting Highland yang membolehkan flora hidup di kawasan ini.

Dalam menjangkakan taman botani itu siap dan dibuka pada pertengahan pertama 2026, pembinaan Eufloria seiring dengan festival bunga tahunan sulung RWG iaitu BUNGA 2026 yang meraikan biodiversiti Malaysia dalam memaparkan gabungan seni dan kreativiti melalui bunga-bungaan. 

Edisi sulung festival tersebut bertemakan orkid dan menampilkan pertunjukan fesyen flora, bengkel artisan, taman berkonsep serta paparan mesra alam.

Antara landskap yang tersusun rapi dengan warna-warni tanaman bunga.

Malahan BUNGA 2026 juga menjadi landasan kepada penganjuran Asia Pacific Orchid Conference (APOC) 2028, salah satu acara orkid dan pemuliharaan paling berprestij di rantau

Ia bakal menghimpunkan penggemar, penyelidik dan profesional dari seluruh rantau dan dunia, sekali gus mengukuhkan RWG sebagai hab utama inovasi botani, pemuliharaan dan pertukaran budaya.

Maka, jika anda ingin mencari kelainan, masukkan Eufloria dalam kalender percutian pada 2026 untuk menjadikan destinasi percutian wajib pada tahun depan.

Sementara itu, dalam perkembangan berbeza, King Sing ketika diminta mengulas mengenai isu caj kenderaan ke Genting Highland, beliau memaklumkan ia wajar diwujudkan bagi memastikan kelestarian penyelenggaraan infrastruktur berkenaan.

Beliau berkata, cadangan caj itu harus difahami dalam konteks pembangunan pesat di kawasan sekitarnya yang turut menyebabkan peningkatan kos yang dikeluarkan.

“Kita kena faham, ini jalan persendirian jadi kos penyelenggaraan sangat tinggi kerana kawasan bukit dan risiko hakisan.

"Genting sudah membaiki kerosakan dengan cepat setiap kali berlaku insiden untuk kelestarian (pengguna jalan), memang tiada pilihan lain (selain mengenakan caj)," katanya.

King Sing (depan) diberi penerangan oleh pihak RWG ketika lawatan eksklusif Eufloria di Resorts World Awana.
 

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan agar caj kenderaan yang dikenakan perlu dilaksanakan secara adil dan kadarnya tidak seperti lebuh raya awam.

Malahan pihak Genting juga telah diminta membuat kiraan kos yang telus sebelum memulakan penggunaan perkhidmatan tersebut.

“Pekerja mereka jangan dikenakan caj, motosikal juga tidak akan dicaj termasuk rakan perniagaan pun perlu jaga kebajikan pekerja masing-masing,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram