Banjir Hatyai: Elektrik terputus, rakyat Malaysia kekurangan makanan diminta kekal di hotel hingga bantuan tiba


  • Nomad
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Seramai lapan rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Hatyai dikenal pasti, terkandas di beberapa buah hotel selepas pusat pelancongan itu ditenggelami banjir sejak semalam. 

TULAR sebuah hantaran hari ini di Facebook oleh seorang warga Malaysia yang terkandas percutiannya di Hatyai, Thailand ekoran bencana banjir yang melanda destinasi pelancongan tersebut.

Mengikuti perkembangan tersebut, pemilik akaun yang dikenali sebagai @Lily Suraini berkongsi beberapa gambar suasana di luar Siam Oriental Hotel Hatyai yang memperlihatkan keadaan bah yang sudah menenggelamkan jalan raya.

Bencana tersebut mengakibatkan terputusnya bekalan makanan dan menyebabkan kesukaran untuk berhubung meminta bantuan kerana kehabisan bateri.

BACA LAGI: Esplanade Pulau Pinang tawar tarikan interaktif terbaharu, cahaya laser warnai setiap langkah di Linear Park

BACA LAGI: Genting Highland syurga flora, taman botani terbesar Eufloria tarik pengunjung menjelang TMM 2026

 

Keadaan banjir yang dikongsikan di Facebook Lily Suraini.

“Kami tak dapat balas semua pesanan ringkas sebab bateri nak habis dah ni, tinggal 10 peratus. Lokasi Siam Oriental Hotel Hatyai (bilik 1514),” katanya menerusi kepsyen di sosial media tersebut.

Mangsa yang terlibat juga memaklumkan mereka memerlukan bantuan susu dan lampin pakai buang kerana terdapat kanak-kanak yang turut sama terlibat terkandas di hotel tersebut.

“Perlukan susu utk budak 2 tahun, 4 tahun dan pampers termasuk makanan serta air mineral untuk kelangsungan hidup.

“Ramai lagi perlukan bantuan di sini, yang ada bayi, elektrik dah terputus. Lif dah tak boleh guna, turun guna tangga dari tingkat 15. Kalau kami diam tanda bateri dah habis,” ujarnya.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi meminta warga Malaysia yang terperangkap dalam banjir di Hatyai dan kawasan sekitar untuk menghubungi Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi mendapatkan bantuan.

Pihaknya juga telah dimaklumkan kebanyakan rakyat Malaysia terperangkap berada di hotel sekitar Hatyai.

Setakat ini, hanya lapan rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Hatyai dikenal pasti terkandas di beberapa hotel selepas pusat pelancongan itu ditenggelami banjir sejak semalam. 

Mereka yang terlibat juga dinasihatkan untuk kekal di hotel masing-masing atau bergerak ke tempat lebih tinggi sementara menunggu bantuan pihak berkuasa Thailand.

“Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia sedang bekerjasama bersama pihak berkuasa di Thailand bagi membantu memastikan keselamatan rakyat kita yang terperangkap termasuk memindahkan mereka ke pusat perlindungan sementara.

“Kita tidak ada jumlah tepat, tetapi mereka yang terperangkap terutamanya yang memerlukan bantuan diminta hubungi segera Pejabat Konsulat bagi membolehkan kita mengesan kedudukan mereka,” kata dalam kenyataannya.

Jelas Ahmad Fahmi, keadaan di bandar Hatyai setakat tengah hari tadi masih dinaiki air dan hampir semua jalan keluar tidak dapat dilalui kenderaan kecuali laluan tertentu sahaja.

Tambahnya, terdapat juga kemungkinan jalan menuju ke sempadan Thailand-Malaysia terputus akibat dinaiki air.

“Kita mendapat maklumat hujan akan berterusan sepanjang hari ini, namun cuaca akan kembali pulih mulai Ahad (esok) atau Isnin dan air akan mulai surut selepas itu.

Sementara itu, maklumat yang diterima daripada Majlis Perbandaran Hatyai, beberapa jalan di pusat bandar telah ditutup akibat ditenggelami banjir sejak semalam.

Terdahulu, jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melaporkan hujan lebat berterusan sejak awal minggu menyebabkan banjir besar melanda lapan wilayah di selatan Thailand dan telah menjejaskan hampir 360,000 penduduk di 48 daerah.

Lapan wilayah terjejas termasuk Phatthalung, Satun dan Songkhla yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia untuk bercuti. 

Orang ramai diminta untuk menangguhkan dahulu sebarang perancangan untuk bercuti di Thailand untuk mengelakkan sebarang kemalangan jiwa berlaku.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram