Indonesia 'claim' durian asal seberang, tapi Malaysia rela kongsi gelaran buah kebangsaan demi penjenamaan, sokong pekebun


  • Nomad
  • Rabu, 19 Nov 2025

Malaysia menghormati pendirian Indonesia dan kedua-dua negara berkongsi hubungan budaya serta sejarah yang mendalam dengan buah tersebut.

BUAH kebanggaan negara iaitu durian sentiasa menjadi pilihan buat penggemarnya sejak sekian lama dengan kehebatan pasaran di Asia mahupun luar negara, terutamanya kategori buah premium seperti Black Thorn dan Musang King.

Durian selaku raja buah, sememangnya sinonim dengan Malaysia, betulkan?

Walaupun setiap rakyat Malaysia bersetuju bahawa durian merupakan buah terbaik dari Malaysia, rakyat Indonesia pula berkata sebaliknya.

BACA LAGIPesona lanskap dirakam dron buka pemandangan rahsia alam dari sudut udara

BACA LAGI: Lampu LED moden antara rahsia jimat tenaga akuarium dan terrarium yang anda perlu tahu

 

Pemilik ladang durian Khim Chuah menuai durian organik di Machang Bubuk, Bukit Mertajam.

 

Mereka menegaskan bahawa Indonesia mempunyai tuntutan yang lebih kukuh terhadap durian, sekali gus mencetuskan isu buah berduri dalam usaha Malaysia untuk menjadikannya buah kebangsaan.

Menteri Penyelaras Urusan Makanan Indonesia, Zulkifli Hasan atau Zulhas, menyangkal cadangan Malaysia itu dengan alasan pengeluaran Indonesia jauh lebih besar.

“Indonesia menghasilkan hampir dua juta tan durian pada 2024 dan itu jauh lebih tinggi daripada Malaysia. Dengan fakta ini, saya percaya durian adalah buah kebangsaan Indonesia,” katanya menerusi laporan CNBC Indonesia.

Zulhas turut mengetengahkan data BPS yang menunjukkan hasil durian Indonesia mencecah 1.96 juta tan tahun lalu iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun. Pengeluaran tersebut merujuk kepada pusat pengeluaran utamanya di Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.

“Sebaliknya, pengeluaran Malaysia lebih rendah walaupun nilai eksport meningkat hasil daripada varieti premium seperti Musang King,” tambahnya.

Pada 10 November, The Star melaporkan bahawa Persatuan Pengusaha Durian (DMA) telah meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengiktiraf durian sebagai buah kebangsaan, dan mengisytiharkan 7 Julai sebagai Hari Durian Kebangsaan.

Status Petunjuk Geografi (GI) Musang King, yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), baru-baru ini telah diperbaharui selama 10 tahun lagi sehingga Mac 2034.

Jadi, ia mengesahkannya sebagai produk kebangsaan yang dilindungi dan menghalang negara lain daripada menuntut atau menggunakan nama tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, mengesahkan bahawa jabatan itu telah menerima permohonan DMA pada 8 September 2025.

Nor Sam berkata tiada pengisytiharan rasmi dibuat sama ada berkaitan penamaan durian sebagai buah kebangsaan atau penetapan Hari Durian Kebangsaan.

Presiden DMA, Eric Chan, berkata cadangan itu bertujuan mengiktiraf hubungan unik Malaysia dengan buah tersebut, bukan untuk menuntut pemilikan.

“Durian sejak dahulu lagi menjadi sebahagian daripada warisan budaya, landskap pertanian dan identiti global Malaysia.

“Cadangan kami meraikan buah yang telah membentuk komuniti kita, menyokong pekebun dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi agro-eksport negara,” ujarnya.

Chan turut menegaskan reputasi global Malaysia terhadap varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn.

“Jika secara rasmi durian sebagai buah kebangsaan akan mengukuhkan penjenamaan, meningkatkan taraf hidup pekebun dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global,” jelasnya.

Chan menegaskan bahawa Malaysia menghormati pendirian Indonesia. Kedua-dua negara berkongsi hubungan budaya serta sejarah yang mendalam dengan buah tersebut yang tumbuh subur di seluruh rantau.

“Menjadikannya buah kebangsaan Malaysia tidak menjejaskan hak Indonesia untuk melakukan perkara yang sama.

“Kami mahu menonjolkan kekuatan Malaysia dan menggalakkan kerjasama serantau, terutamanya kerana Asia Tenggara ialah tanah asal durian.

“Simbol kebangsaan dipilih berdasarkan kepentingan budaya, akar sejarah dan pengiktirafan global.

“Malaysia telah membina reputasi antarabangsa yang kukuh untuk durian premium berkualiti tinggi, dengan kehadiran yang tersendiri di seluruh dunia,” katanya sambil mengakui keluasan tanah Indonesia yang lebih besar serta jumlah pengeluaran lebih tinggi. — The Star/KHOO GEK SAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram