KREATIVITI adalah subjektif dalam dunia seni fesyen. Menjadi hala tuju dan misi buat dunia seni tempatan kini dalam menghasilkan sebuah produk tempatan yang berkualiti dalam melahirkan pelapis generasi muda bagi memartabatkan industri fesyen.
Dalam menerajui arah pencapaian tersebut, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan pertandingan Carlo Rino Upcycle Bag Challenge “Waste to Wow” POLYCC Creative Award 2025 bagi melahirkan pereka fesyen dalam kalangan generasi muda.
Acara tersebut merupakan hasil kerjasama dengan Kolej Komuniti Raub dan jenama fesyen terkenal tanah air, Carlo Rino dan telah berjaya menghimpunkan lebih 16 rekaan produk hasil kreativiti pelajar politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) seluruh negara.
BACA LAGI: 'Balik kampung pun boleh berlari', fenomena parkrun makin popular di Malaysia
BACA LAGI: Taman Botani Tun Fuad Stephens tampil nama dan wajah baharu, bakal jadi tarikan seisi keluarga

Setiap rekaan beg yang dihasilkan oleh peserta dan pelajar diperagakan ketika acara berlangsung.
Berlangsung di 168 Park mall, Selayang, acara turut memperkenalkan dan mempromosikan bidang Sijil Fesyen dan Pakaian yang ditawarkan di POLYCC seiring dengan kefahaman kepada pelajar dan masyarakat bahawa fesyen bukan hanya terikat dengan rekaan pakaian sahaja.
Ia juga menjuruskan ke arah penghasilan beg yang menjadi salah satu produk fesyen yang boleh dikomersilkan melalui kerjasama strategik bersama Carlo Rino.
Berkonsepkan pertandingan rekaan beg tangan, pelajar daripada Politeknik Besut, Terengganu berjaya mendapat tempat pertama menerusi penghasilan beg tangan.

Nur Amanda Amani Muhammad Shamsul (kanan) dan Isha Dalilah Nazli (kiri) dari Politeknik Besut, Terengganu berjaya menduduki tempat pertama.
Nur Amanda Amani Muhammad Shamsul, 21, dan Isha Dalilah Nazli, 21, merupakan pelajar yang bertanggungjawab menghasilkan beg tangan yang mengambil beberapa minggu untuk disiapkan.
Menggunakan pelbagai jenis kain terpakai, pelajar jurusan Reka Bentuk Fesyen Batik itu, kedua-dua pelajar itu mengambil inspirasi daripada elemen seni kraf dan identiti negeri Terengganu iaitu obor-obor, batu karang, jala ikan dan beberapa lagi bahan lain.
“Terengganu dah sememangnya terkenal dengan pantai, kalau tengok balik siluet (visual) beg ini terdiri daripada cengkerang dan anyaman daripada rupa obor-obor.
“Kami tak pernah sangka akan menang tapi hasil usaha kami ini kami dah meletakkan harapan untuk mendapat sekurang-kurangnya tempat ketiga.,” kata Isha Dalilah.

Antara beg yang diperagakan ketika pertandingan berlangsung.
“Kemenangan ini memang menjadi harapan semua orang untuk ada kolaborasi dengan Carlo Rino, jadi saya memang nak letak barangan hasil tangan kami ini ke merata dunia.
"Kami juga mahu tunjukkan bahawa seni penghasilan beg juga boleh memiliki nilai tinggi walaupun menggunakan kain terpakai.
“Harapan saya dengan kemenangan ini, kami mahu pelajar junior cuba masuk dengan apa-apa jenis pertandingan fesyen walaupun acara itu kecil.
"Ini penting bagi kita membawa industri fesyen dari peringkat muda,” jelas Nur Amanda Amani.

Puteri Anis Nabilah (kanan) dan Muhammad Nur Aiman (kiri) menginspirasikan rekaan begnya menerusi seni bina Minangkabau.
Bagi dua peserta dari kolej Kolej Komuniti Rembau, Negeri Sembilan, Muhammad Nur Aiman Baharudin,19, dan Puteri Anis Nabilah Mohammad Rezuan, 18, yang mendapat tempat ketiga pula meletakkan tradisi dan seni bina Minangkabau sebagai elemen yang ada pada beg rekaan mereka.
“Tradisi dan seni binaan Minangkabau dekat beg ini bukan sesuatu yang mudah untuk dihasilkan kerana nak menonjolkan identiti etnik Negeri Sembilan.
“Hasil ini penting untuk memperlihatkan kepada dunia tentang budaya Malaysia apatah lagi kalau ia mendapat pengiktirafan dari Carlo Rino sendiri, memang kita kena bangga,” ujar Nur Aiman yang berasal dari Melaka.
Rakannya, Puteri Anis pula berkata, masa untuk menyiapkan beg tersebut sangat mencabar mereka.
“Tambah tolak hari kelas dan sebagainya, beg kami ini ambil masa dua minggu yang cukup padat . Masa buat beg ini, kami cakap yang kami nak tunjuk kepada orang luar bahawa idea dan visual dari generasi sekarang tidak kurang hebat.
“Kami juga boleh masuk dan menyelam dengan idea bernas dalam dunia moden sekarang,” jelas Puteri Anis yang merupakan anak jati Negeri Sembilan.
Rekaan ini menggabungkan konsep kelestarian dan budaya tempatan melalui dua rekaan beg tangan yang berbeza.
Beg pertama dihasilkan daripada denim perca yang dianyam menggunakan teknik tenunan bagi menghasilkan tekstur moden serta menonjolkan nilai kitar semula dan gaya kasual.
Objektif utama rekaan ini adalah mengharmonikan tradisi dengan inovasi serta meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan bahan lestari dalam industri fesyen.
Selain itu, rekaan ini juga bertujuan menerapkan nilai kelestarian melalui penggunaan semula bahan seperti denim dan fabrik tradisional, bagi mengurangkan pembaziran serta menyokong reka bentuk lestari. Secara keseluruhan, rekaan ini mencerminkan gabungan kreativiti, identiti budaya dan kepekaan terhadap alam sekitar dalam menghasilkan aksesori moden yang bernilai estetika dan budaya.

Mashurina (tengah) bersama dua pelajarnya Muhammad Faqih dan Husna Shazwani Hussin berjaya mendapat tempat ke-2.
Sementara itu, pensyarah kolej Komuniti Jeli, Kelantan, Mashurina Md Khair, 37, berkata, penyertaan dan kemenangan setiap pelajar yang terlibat dalam pertandingan ini adalah satu peluang yang besar bagi meningkatkan portfolio masing-masing untuk digunakan pada masa depan.
"Pelajar yang masuk pertandingan macam ini memang boleh pergi jauh. Industri seni kini memerlukan inisiatif seperti ini bagi membuka mata dan peluang kepada anak muda yang mungkin berbakat tetapi tiada peluang atau tidak tahu mana pintu yang ingin dilalui untuk menonjolkan karya dan bakat mereka.
“Jadi kita perlu memperbanyakkan lagi pertandingan seperti ini untuk memperlihatkan wajah-wajah pelapis muda dalam industri fesyen di negara kita,” jelasnya yang melihat kejayaan dua pelajarnya mendapat tempat ke-2 pertandingan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
