MALAYSIA umumnya dikenali sebagai sebuah negara yang memilki pelbagai keunikan tersendiri kerana didiami banyak kaum termasuk Orang Asli yang sekian lama menetap di bumi bertuah ini.
Malah, Orang Asli sendiri berpecah kepada pelbagai jenis suku dengan memiliki adat dan budaya tersendiri yang telah diamalkan sejak berkurun lamanya.
Antara adat yang kurang diketahui umum termasuklah Mandi Pancor yang diamalkan oleh Orang Asli Semai di Perak dan Pahang.
BACA LAGI: 'Balik kampung pun boleh berlari', fenomena parkrun makin popular di Malaysia
BACA LAGI: Dunia seni dari layar perak, Jonathan hasilkan figura terpakai sebagai bentuk perjuangan berkarya
Berkongsikan keunikan adat unik itu, penyelidik yang menjalankan kajian bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, amalan yang dilaksanakan oleh masyarakat Semai kedua-dua negeri itu mempunyai beberapa hujah dan penjelasan tersendiri.
Menurut Syed Mohd Zakir, tujuan utama mandian itu dilaksanakan sebagai simbolik terputusnya tanggungjawab antara bidan dan ibu yang melahirkan anak serta bayi yang dilahirkan.
“Maka dengan terputusnya tanggungjawab ini, si ibu tidak lagi berhutang dengan si bidan dan apa-apa yang menimpa bayi atau ibu, tidak lagi ada kena mengena dengan si bidan,” katanya pada Program Intelektual Seni 2025 dengan perbincangan tentang Kosmologi Melayu Dari Sudut Kearifan Tempatan Masyarakat di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Suasana ketika maklumat Mandi Pancor dikongsikan di UKM.
Namun katanya, ada percanggahan dari soal usia untuk melaksanakan Mandi Pancor berdasarkan penyelidikan yang dilakukan terhadap dua individu dari suku kaum Semai itu.
Kata Syed Mohd Zakir, maklumat yang diperolehi daripada Wak Sham Yok Miring dari Sungai Tisong, Sungkai, Perak menyatakan bahawa upacara mandian itu perlu dilakukan terhadap bayi selepas enam hari dilahirkan.
"Maklumat dari seorang lagi suku kaum sama iaitu Wan Ngah Pandak dari Sungai Peria, Sahom, Kampar, pula menerangkan amalan ini dilakukan selepas bayi yang dilahirkan itu mencapai usia 12 tahun.
"Bagaimanapun sumber maklumat daripada Wan Ngah diterima sebagai fakta yang sahih kerana data tentang naratif yang dikumpul lebih banyak dan tepat tentang Mandi Pancor," katanya.

Mandi Pancor merupakan 'mandi pancuran' yang dilakukan bermula dengan air yang mengalir dari bekas buluh.
Secara harfiahnya, Syed Mohd Zakir berkata, Mandi Pancor merupakan 'mandi pancuran' yang dilakukan oleh kanak-kanak terbabit menggunakan air yang mengalir dari bekas buluh sebagai satu bentuk simbolik.
“Ini kerana mandi itu bukan macam membersihkan diri yang dilakukan setiap hari. Mandian ini lebih kepada membasahkan atau merenjis individu tersebut dengan air yang diisi dalam bekas buluh sebagai simbolik upacara.
“Air tersebut juga sudah digaul bersama ramuan bunga, dedaunan dan herba yang berhubung kait dengan kepercayaan mereka. Buluh sepanjang empat kaki juga digunakannya tetapi bukanlah pancuran sebenar tetapi sebaliknya simbolik kepada pancuran yang berkaitan adat kepercayaan,” jelasnya.
Kata Syad Mohd Zakir, Mandi Pancor ialah kepercayaan spiritual atau hubungan ghaib dan bersifat semangat atau jiwa nurani.
Jelasnya, kepercayaan tersebut menyakini bahawa bayi serta ibu bayi itu sedang 'berhutang' dengan bidan yang ketika menyambut anaknya keluar.

Masyarakat Orang Asli Semai.
"Hutang di sini merujuk kepada jalinan ghaib antara bidan, bayi dan ibu bayi.
"Dalam kata lain, jika bayi atau ibu bayi tersebut mengalami perkara tidak baik seperti sakit, sawan, dan seumpamanya, maka ia dianggap berpunca daripada hubungan dengan bidan tersebut.
“Jadi, Mandi Pancor untuk memutuskan jalinan ghaib antara tiga individu ini. Akan diadakan selepas bayi tersebut meningkat remaja dalam lingkungan 12 tahun sebagai penamat dan pemutus segala hubungan ghaib itu daripada terjalin,” jelasnya.
Syed Mohd Zakir berkata, berdasarkan kepercayaan masyarakat Orang Asli, jika berlaku sesuatu selepas mandian itu, si ibu dan anak perlu berurusan dengan pawang, dalam konteks keperluan perubatan tradisional.
Tambahnya. masyarakat orang Asli Semai percaya bahawa jika tidak dilakukan Mandi Pancor, perkara yang tidak baik boleh terjadi kepada si ibu, anak yang dilahirkan atau bidan itu sendiri.
"Oleh sebab itulah, Mandi Pancor adalah wajib dilaksanakan dalam kepercayaan masyarakat orang Asli Semai satu ketika dahulu," katanya.
Menurut Syed Mohd Zakir, Mandi Pancor merupakan sebuah sambutan yang cukup besar dan meriah setiap kali ia diadakan.
"Acara itu melibatkan penyertaan seluruh penduduk kampung yang akan berkumpul untuk beberapa hari seperti gotong royong atau kenduri untuk bersama-sama menyempurnakan upacara tersebut.
"Makan minum akan disediakan bersama-sama, dan semua penduduk kampung menjamu selera di situ. Secara umumnya, acara ini disambut dengan rasa gembira dan rasa persaudaraan antara penduduk," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
