Dihimpunkan dalam satu pentas, menjiwai kelebihan pemuzik Malaysia berbakat yang serba kekurangan


  • Hobi
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Edisi tahun ini menampilkan barisan pemuzik OKU bersama penampilan khas dua artis legenda Malaysia.

SELEPAS kemunculan sulung yang menyentuh hati pada tahun 2024, Musicians for Musicians Malaysia (MFM) kembali dengan persembahan penuh inspirasi yang meraikan dunia seni.

Berlangsung pada 15 November bermula pukul 7 malam hingga 9.30 malam di The British International School of Kuala Lumpur, Bandar Utama, Petaling Jaya, konsert itu menjanjikan malam penuh persembahan hebat.

Istimewanya ia meraikan bakat luar biasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Edisi tahun ini menampilkan barisan pemuzik OKU bersama penampilan khas dua artis legenda Malaysia, Datuk Francissca Peter dan Frankie Tan.

BACA LAGI: Tasik Titiwangsa tawar aktiviti air sambil nikmati suasana latar langit Kuala Lumpur

BACA LAGI: Lagu Tabole bale angkat bahasa Melayu Minang, musik satukan bangsa Nusantara

 

Nathaniel (duduk, kedua dari kanan) bertujuan untuk mewujudkan komuniti muzik yang lebih inklusif dan menyokong.

Menurut pemilik sekolah muzik Music Mart di Petaling Jaya, dan Naib Presiden MFM, Edwin Nathaniel, 67, kolaborasi tersebut bukan sekadar persembahan muzik, ia adalah tentang rasa kekitaan dan pengiktirafan.

“Apabila artis terkenal berkongsi pentas dengan pemuzik istimewa, ia menyampaikan mesej yang kuat dan bakat itu bersifat sejagat.

“Kami mahu tunjukkan bahawa keterangkuman bukanlah amal kebajikan, ia adalah satu perayaan.

”Selain itu, MFM sentiasa prihatin terhadap kebajikan pemuzik dan ingin menyediakan platform bagi mengetengahkan golongan OKU yang memiliki bakat tersendiri.

“Tahun lalu, ramai yang terharu dan tidak percaya dengan bakat yang mereka saksikan,”katanya.

Acara ini memberi tumpuan kepada persembahan luar biasa daripada individu yang mengisahkan ketabahan dan kreativiti mereka seiring dengan muzik yang dibawakan.

 

Pemuzik Ow menggunakan bakatnya untuk memberi inspirasi dan memperkasakan orang lain melalui muzik.

Antara yang bakal membuat persembahan ialah Clarence Kang, seorang pemain piano dan komposer bertaraf antarabangsa yang pernah mewakili Malaysia di luar negara serta memenangi pelbagai anugerah.

Kang, yang merupakan seorang savants muzik dan didiagnosis dengan autisme (ASD) serta gangguan hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), mula belajar bermain piano sendiri pada usia 10 tahun.

Turut serta ialah Sarah Ow, penyanyi dan penulis lagu autistik yang dikenali dengan persembahan penuh jiwa.

Beliau bermain gitar dan papan kekunci, serta sering membuat persembahan bersama Forever Band dan kumpulan Zimi’J yang terdiri sepenuhnya daripada insan autistik.

Zimi’J atau pengasasnya Johnson dan Augustin, pernah mencipta sejarah apabila memenangi tempat pertama untuk Malaysia dalam pertandingan muzik serantau, Autistic Talent Gala di Hong Kong, pada tahun 2017.

Turut tersenarai dalam barisan persembahan ialah Lee King Tech, 26, penyanyi autistik yang bermain piano secara spontan diikuti Emily Chai Pei Thong, 16, penyanyi pelbagai bahasa yang juga autistik.

Turut sama Raees Aryan, 15, pemain piano autodidak yang terkenal menerusi video advokasi ibunya yang tular serta Natalia Lee Jia En, 11, pemain piano muda berbakat.

Acara juga menampilkan seorang penceramah motivasi dan pemain gitar yang dilahirkan dengan tangan kanan yang tidak sempurna, Ong Boo Siong.

Hasil muzik yang dihasilkan melayakkannya menerima Anugerah Sepuluh Belia Terbaik Malaysia pada tahun 2013.

Selain itu, dua persembahan baharu yang pasti menyentuh hati penonton turut bakal dipertontonkan oleh Magika ialah sekumpulan pelajar berkeperluan khas yang berbakat dan penuh minat terhadap dunia muzik.

Walaupun menghadapi cabaran pendengaran, mereka menzahirkan keindahan lagu melalui bahasa isyarat, ekspresi wajah dan gerakan tangan yang anggun.

Setiap persembahan mereka membawa mesej tentang harapan, keberanian dan kasih sayang menunjukkan bahawa muzik bukan hanya boleh didengar akan tetapi boleh dirasai dengan hati.

Ditubuhkan pada Februari 2024, kumpulan Magika terdiri daripada enam pelajar pendidikan khas yang dibimbing oleh dua tenaga pengajar.

Matlamat utama kumpulan ini adalah untuk membantu ahli-ahlinya membina keyakinan diri di samping meningkatkan kesedaran awam terhadap komuniti pekak dan kurang pendengaran.

Detik paling membanggakan bagi mereka ialah apabila berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan OKU Got Talent tahun lalu.

 

Siti Nur Aisyah Shahimee.

Turut membuat penampilan sulung tahun ini ialah Siti Nur Aisyah Shahimee, 26, yang dilahirkan dengan Sindrom Down.

Beliau juga merupakan seorang model, peserta pertandingan ratu cantik, atlet Special Olympics dan pendokong keterangkuman sosial.

Antara pencapaian beliau termasuk menjadi finalis OKU Got Talent (2023), menerima Anugerah Kecemerlangan Miss Amazing Malaysia (2024), serta memenangi pingat gangsa dalam acara boling di Special Olympics Asia Pacific Games di New Delhi, India (2024) dan beberapa lagi.

Lebih daripada sekadar persembahan, Nathaniel melihat cabaran dalam menganjurkan konsert seperti ini bermula seawal proses mengumpulkan peserta untuk berlatih bersama, memilih lagu yang sesuai dan mendapatkan penaja.

Namun, ia tidak pernah menjadi halangan buatnya untuk menganjurkan MFM.

“Kami tidak akan berhenti mengetengahkan bakat mereka, dan sebagai Naib Presiden MFM, hati saya sentiasa terpanggil untuk mencipta peluang serta mencari kerjasama dengan syarikat korporat, hotel, hospital dan mana-mana pihak yang ingin menjemput mereka membuat persembahan.

“Setiap persembahan dalam konsert ini mewakili keberanian dan potensi. Mereka mengingatkan kita bahawa batasan hanya wujud apabila masyarakat yang menetapkannya,”katanya.

Tiket bagi konsert ini dijual pada harga RM80, dan hasil kutipan sepenuhnya akan disalurkan kepada usaha berterusan MFM dalam menyediakan platform, peralatan dan bimbingan untuk pemuzik OKU di seluruh Malaysia. — The Star/ANN MARIE CHANDY

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram