'Balik kampung pun boleh berlari', fenomena parkrun makin popular di Malaysia


  • Hobi
  • Ahad, 19 Okt 2025

Parkrun meraikan semangat kebersamaan tanpa tekanan untuk bersaing.

 

 

LARI dan terus berlari. Aktiviti larian kini bukan semata-mata untuk melihat siapa yang paling laju dan berjaya menghabiskannya larian sehingga ke garisan penamat.

Tapi ia sudah menjadi satu bentuk senaman komuniti dan aktiviti untuk mencergaskan minda dan komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain.

Setiap pagi Sabtu, parkrun di Presint 18, Putrajaya menjadi tumpuan buat mereka yang ingin berlari, berjoging atau berjalan sejauh lima kilometer (km) dalam suasana santai dan mesra komuniti.

BACA LAGI: Menulis novel, ambil gambar antara 5 hobi kreatif asah kemampuan diri selesaikan apa jua masalah hidup

BACA LAGI: Dunia seni dari layar perak, Jonathan hasilkan figura terpakai sebagai bentuk perjuangan berkarya

 

 

(Dari kanan) Siti Aisyah dan Ahmad, bersama ahli kumpulan lari (dari kiri) Jusuf Ariz Wahyuono, Darius Budi, Gamma Rizaldy dan Devita Olyviana Putri di Torrens parkrun. Kelab ini menggunakan parkruns untuk memastikan komuniti mereka rapat.

Acara gaya hidup sihat ini bermula pukul 7.30 pagi dan terbuka kepada semua peringkat umur dan kemampuan sama ada pelari tegar, keluarga dengan anak kecil, peserta berkerusi roda atau mereka yang hanya mahu bersenam ringan.

Presiden parkrun Malaysia, Dr Aizat Mohd Taib berkata, parkrun meraikan semangat kebersamaan tanpa tekanan untuk bersaing.

“Tiada siapa perlu bimbang menjadi peserta terakhir kerana itu tugas tailwalker. Yang penting ialah semangat dan penyertaan,” katanya.

 

 

Adi (kiri) menggunakan parkrun sebagai sebahagian daripada latihan lariannya, dengan tujuan mewakili Malaysia, manakala bapanya Azam berlari untuk mengekalkan kecergasan.

Antara peserta tetap ialah Adi Azam, 14, yang menggunakan parkrun sebagai latihan untuk memperbaiki prestasi larian.

Dengan catatan terbaik 18 minit 31 saat bagi jarak 5km, Adi berazam mahu mewakili Malaysia dalam acara trek suatu hari nanti.

Turut bersama ayahnya, Azam Azman, yang menemani anaknya itu dan berlatih bersama-sama di lokasi tersebut.

Sementara itu, Nur Alyssa Coraline Yussin, 49, berkata, parkrun telah menjadi aktiviti keluarga yang membantu perkembangan anak kembarnya, Ryan Asyraff dan Ryan Aimar, yang menghidap autisme.

Penyertaan mingguannya itu memberi keyakinan kepada anak-anaknya dan membantu mereka berinteraksi dengan orang ramai.

“Komuniti parkrun sangat mesra dan para sukarelawan sentiasa memberi galakan. Walaupun anak-anak saya tidak bertutur, mereka kini lebih berani dan selesa berada dalam kumpulan,” jelasnya.

Bagi mereka yang menyertai acara ini, parkrun bukan sekadar aktiviti kecergasan tetapi ruang untuk membina hubungan, meningkatkan kesejahteraan diri dan mengukuhkan semangat komuniti.

 

 

Pelari di Albert parkrun di Melbourne, Australia, dengan laluan berliku mengelilingi tasik.

Larian dan rekreasi

Di Adelaide, Australia, semangat komuniti turut menjadi sebab utama parkrun di sana menjadi pertemuan tetap pelajar Indonesia sehingga menubuhkan kumpulan bernama Adelaindo Running Club.

Bagi mereka, larian mingguan yang melibatkan tiga lokasi di pusat bandar yang melalui tepi pantai dan hutan, merupakan cara terbaik untuk mengekalkan hubungan rapat sesama komuniti.

Siti Aisyah Damiati, 34, berkata, konsistensi parkrun menjadikannya mudah untuk berkomitmen.

“Setiap Sabtu pasti ada parkrun, dan jika satu lokasi dibatalkan kami akan pergi ke lokasi lain,” ujarnya.

Selain larian pagi, mereka juga berkumpul untuk acara khas seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri awal tahun ini.

“Kami mengadakan barbeku di taman bersama komuniti Indonesia, di sini,” kata Siti Aisyah ketika ditemui di Torrens parkrun, Adelaide.

Suasana mesra di parkrun turut menggalakkan perbualan antara peserta malah sebahagian perbualan dilakukan semasa berjalan di tepi sungai.

Selepas larian, mereka akan menikmati kopi bersama di kafe berhampiran apartment yang didiami Siti Aisyah dan suaminya, Ahmad Syahid.

Sarapan selepas larian kini menjadi rutin tetap sama seperti komitmen untuk hadir ke acara setiap Sabtu.

Dr Aizat berkata, konsistensi acara mingguan yang disertai kumpulan mesra tanpa tekanan terhadap kelajuan boleh memupuk kesejahteraan fizikal dan mental.

Konsisten amat penting

Dari sudut penganjuran, mereka perlu menentukan kesesuaian jadual cuti dan aktiviti lain bagi memastikan parkrun di Presint 18, Putrajaya dapat dijalankan setiap minggu tanpa gagal.

Memandangkan parkrun dianjur dan dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan termasuk pengarah larian, pencatat masa dan marshal, sebuah kumpulan teras yang komited perlu diwujudkan.

“Ada sukarelawan yang datang membantu walaupun tinggal jauh, seperti dari Ijok, Selangor.

“Kami bergilir-gilir bercuti atau balik kampung, dan sepanjang tujuh tahun inic hanya beberapa kali acara terpaksa dibatalkan,” ujarnya.

Dr Aizat, yang mula mengenali parkrun ketika menuntut di United Kingdom, berkata, beliau teruja apabila menemui acara serupa di Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur, pada 2018.

Bagaimanapun, rancangan untuk mengadakan parkrun di Danau Desa terhenti akibat pandemik Covid-19, manakala acara di Taman Pudu Ulu juga telah dibatalkan.

Beliau kemudian membawa parkrun ke Putrajaya bagi memberi peluang kepada komuniti pelari di kawasan itu.

Lokasi di Presint 18 dengan kemudahan seperti tandas awam, pancutan air dan tempat letak kereta yang luas sangat sesuai untuk aktiviti pagi Sabtu.

“Kami bermula pukul 7.30 pagi dan sekitar pukul 9, semuanya sudah selesai dan masih sempat untuk aktiviti lain sepanjang hari. Ia cara terbaik untuk memulakan hujung minggu,” kongsinya.

Aizat turut menggalakkan orang ramai mencuba sendiri pengalaman parkrun dengan melayari laman Facebook di @presint18parkrunputrajaya.

"Saya ingin lihat parkrun di setiap negeri supaya bila balik kampung pun, kita masih boleh berlari!”, tutup bicaranya.— TheStar/EZANOR MK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram