Ramai rider tak setuju kongsi lorong motosikal dengan geng basikal, boleh undang bahaya keselamatan  


  • Massa
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Beberapa penunggang motosikal berpendapat bahawa lorong motosikal tidak selamat untuk basikal.

ISU pengayuh basikal di laluan utama kenderaan termasuk lorong motosikal masih menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh pengguna jalan raya.

Terdahulu, pelbagai laporan dan video tular dikongsikan oleh pengayuh basikal yang tidak bertanggungjawab beriadah di jalan raya tanpa aturan yang sah dan membahayakan orang lain.

Namun, terdapat juga hujah atau pendapat bahawa pengayuh basikal berhak untuk menggunakan lorong motosikal atas dasar perkongsian bersama.

BACA LAGI: Tasik Titiwangsa tawar aktiviti air sambil nikmati suasana latar langit Kuala Lumpur

BACA LAGI: Lagu Tabole bale angkat bahasa Melayu Minang, musik satukan bangsa Nusantara

Bagaimanapun, rata-rata penunggang motosikal tidak setuju untuk berkongsi lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan dengan pengayuh basikal.

Abu Shantoo, 36, yang menggunakan lorong motosikal beberapa kali seminggu untuk ke tempat kerja, berkata, lorong tersebut terlalu sempit untuk menampung motosikal dan basikal dalam satu masa.

“Kebanyakan penunggang basikal mereka akan berbasikal dalam kumpulan dan sering berbual sesama mereka ketika berada di atas jalan.

"Pernah sekali saya terserempak dengan sekumpulan penunggang basikal pada waktu malam dan terpaksa membunyikan hon supaya mereka beri laluan,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa bagi mengelakkan kemalangan, penunggang basikal sepatutnya berbasikal di kawasan yang lebih sesuai seperti taman atau stadium.

“Mereka yang berbasikal ke tempat kerja adalah golongan kecil berbanding jumlah penunggang motosikal menggunakan laluan tersebut setiap hari.

“Berkongsi lorong bukanlah mudah kerana setiap lorong khas telah direka berdasarkan jenis kenderaan yang melalui atau menggunakannya,” jelasnya.

Seorang lagi penunggang motosikal, yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, turut berpendapat bahawa lorong motosikal tidak selamat untuk basikal.

“Basikal mempunyai tayar yang lebih kecil, jadi risiko untuk terjatuh lebih tinggi, walaupun hanya terlanggar lubang kecil.

“Selain itu, motosikal juga bergerak jauh lebih laju berbanding basikal. Lorong motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan agak sempit dan gelap pada waktu malam,” ujarnya.

 

Mohamad Afiq Akmal Mohd Sofee

 

Namun, Mohamad Afiq Akmal Mohd Sofee, 28, pula berpendapat bahawa penunggang basikal juga perlu diberi akses ke lorong tersebut atas faktor keselamatan.

“Penunggang basikal tidak boleh berbasikal di jalan utama kerana ia berbahaya dan melanggar undang-undang.

“Lorong motosikal boleh diperluas atau diubah suai dengan menambah satu lorong khas untuk basikal. 

“Pihak berkuasa juga boleh menambah lebih banyak papan tanda bagi memaklumkan pengguna bahawa lorong itu adalah ruang perkongsian.” katanya yang menggunakan lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan hampir setiap hari. — TheStar/LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram