Lagu Tabole bale angkat bahasa Melayu Minang, musik satukan bangsa Nusantara


  • Massa
  • Khamis, 23 Okt 2025

JKKN menumpukan program seperti ini khusus kepada Institut Pengajian tinggi Awam (IPTA) kerana ingin mendedahkan ilmu dan maklumat kepada generasi pelapis.

ZAMAN sentiasa berubah dengan kemajuan menjadi ukuran, begitu juga perubahan generasi yang dilihat semakin berkembang.

Pendekatan dalam sejarah dan seni amat penting terutamanya golongan muda supaya mereka menyedari bahawa kita semua berpeluang hidup di bumi yang bertuah dan memiliki kepelbagaian budaya.

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (PUSKEB) menganjurkan Program Intelektual Seni 2025 dengan perbincangan tentang Kosmologi Melayu Dari Sudut Kearifan Tempatan Masyarakat.

BACA LAGI: Tasik Titiwangsa tawar aktiviti air sambil nikmati suasana latar langit Kuala Lumpur

BACA LAGI: Raikan kekayaan biodiversiti Malaysia, ini 5 lokasi semula jadi berbaloi dilawati

 

Dr. Sastri Sunarti ketika sesi soal jawab ebrsama pengunjung dan pelajar yang hadir.

Program yang disertai oleh warga Universiti Kebangsaan Malaysia ini menampilkan pelbagai forum yang dikhususkan mengikut panel jemputan .

Antara yang menarik dikongsikan oleh seorang daripada panel, Dr. Sastri Sunarti. ialah tentang kajian bahasa Melayu sebagai platform pengukuhan bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri.

Beliau yang merupakan tenaga pengajar dan pakar bahasa daripada Indonesia berkongsikan bahawa penggunaan bahasa Melayu yang merujuk kepada berpecah kepada puluhan dialek sejak dari zaman Tanah Melayu lagi.

“Tulisan (sejarah) menjelaskan bagaimana bangsa Melayu 'berinteraksi' dengan kepulauan-kepulauan yang lain. Interaksi  budaya itu terjalin kerana adanya bahasa yang mengikat rasa utuh persatuan bahasa Indonesia yang berasal daripada bahasa Malaysia.

“Akhir-akhir ini, muzik Melayu Minang menjadi tular dan menajdi fenomena dalam kalangan generasi muda bertajuk Tabola bale. Muzik Minang Timur itu merebak sehingga ke negara jiran Malaysia.

“Di sini memperlihatkan walaupun bahasa dan budaya kita terpisah dari sudut geografi akan tetapi muzik kembali menyatukan kita sebagaimana dahulunya, lagu P.Ramlee yang kini dikenali oleh dua negara ini,” katanya ketika membahasnya di pentas forum.

Ingin ditekankan di sini, pemersatuan bangsa Melayu melalui kosmologi bahasa begitu penting dan budaya tersebut jelas memperlihatkan, muzik daripada bahasa tanah air mampu memperkukuhkan budaya seni.

 

Dr. Sastri Sunarti mendedahkan terdapat 87 dialek bahasa melayu di Indonesia.

Selain itu, panel-panel yang dijemput juga memberikan pendedahan tentang alam Melayu dari sudut pandang Islam dan evolusi Masyarakat Melayu yang kian berkembang.

Bukan hanya di Malaysia, tetapi juga hubungannya dengan budaya-budaya serantau.

Sementara itu, menurut Ketua  Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, program Intelektual Seni yang telah dilakukan sejak 2018 menekankan tentang kearifan tempatan dalam pelbagai bidang seni seperti tekstil, persembahan dan pembuatan.

Kemudian katanya, pada 2022 JKKN membawa tema Kearifan Tempatan itu kepada platform lebih bersifat fizikal dengan tajuk tentang adat.

“Kita nampak pelaksanaan program Intelektual Seni memberi kepentingan membawa orang-orang berilmu dalam pelbagai bidang ke khalayak ramai.

"Saya tak nafikan generasi millennial kurang penglibatan dalam platform seni mungkin sebab perubahan generasi dan zaman.

“Jadi memang perlulah kita mendekatkan atau kaitkan mereka dengan elemen-elemen akademik bersifat budaya ini dengan membawa sendiri secara fizikal. Barulah terbuka minda mereka tentang betapa luasnya budaya dan seni itu,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui di UKM.

Mohd Amran Mohd Haris

Beliau menambah, pihak JKKN juga menumpukan program seperti itu khusus kepada Institut Pengajian tinggi Awam (IPTA) kerana ingin mendedahkan ilmu dan maklumat kepada generasi pelapis.

“Memang cabaran generasi muda sekarang ini besar. Jadi dengan pendekatan seperti ini boleh menjadi titik mula kepada pelajar-pelajar dan kajian-kajian yang ditunjukkan itu boleh menjadi rujukan untuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran, buat kertas kerja tugasan dan sebagainya. Mungkin tajuk-tajuk yang didedahkan juga boleh menjadi pilihan dalam pengajian mereka,”ujarnya.

Harapan Mohd Amran dengan perkongsian yang dibuat, pelajar-pelajar tahu tentang data atau kajian yang dikeluarkan oleh pakar-pakar bukan hanya bersifat data raih semata-mata.

“Orang-orang yang terlibat ini mengumpul maklumat dan data dengan turun ke lapangan sendiri dan alami sendiri pengalaman semasa membuat kajian, bukan ambil atau catat semata-mata. Maka, pelajar perlu tahu, setiap kajian bukannya hanya ditekan di digital platform semata-mata,” jelasnya.

 

Dila Sofia Sabaruddin

Sementara itu, pelajar jurusan Jurutera Awam (UKM) Dila Sofia Sabaruddin, 20, meluahkan rasa teruja apabila mendengarkan pelbagai kupasan serta perkongsian semasa menghadiri program Intelek Seni tersebut.

Pelajar semester 1 yang berasal dari Tenom, Sabah itu memaklumkan bahawa pendedahan yang dibuat oleh panel Dr Sastri Sunarti berkenaan pecahan bahasa Melayu  di Indonesia itu amat mengejutkan.

“Saya sendiri terkejut dan baharu tahu rupa-rupaya bahasa Melayu di Indonesia ada 87 dialek. Bukan kita saja yang ada dialek macam Kelantan, Terengganu atau seperti saya sendiri dialek Sabah. Jadi besar sebenarnya seni dan budaya yang ada di Tanah Melayu ini.

“Program ini memang seronok, banyak benda yang kita tak tahu jadi tahu apalagi maklumat yang disampaikan juga datang daripada pengkaji yang sahih. Mestilah kita kena percaya sebab mereka buat kajian,” jelasnya. —  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram