MELANCONG menggunakan pengangkutan kereta api kini semakin mendapat sambutan dan banyak dimanfaatkan oleh orang ramai.
Manakan tidak, orang ramai khususnya penduduk Johor tidak perlu menempuh kesesakan trafik dan masa perjalanan pun lebih cepat jika menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang menghubungkan Kluang dan Kuala Lumpur.
Sejak mula beroperasi pada 30 Ogos, perkhidmatan ini telah mencatatkan lebih 10,000 penumpang dalam tempoh sebulan pertama.
BACA LAGI: Lagu Tabole bale angkat bahasa Melayu Minang, musik satukan bangsa Nusantara
BACA LAGI: Raikan kekayaan biodiversiti Malaysia, ini 5 lokasi semula jadi berbaloi dilawati

Teo Joo Hern.
Menurut Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), jumlah itu merangkumi 4,461 penumpang pada hari bekerja (Isnin hingga Khamis) dan 6,412 penumpang pada hujung minggu (Jumaat hingga Ahad).
“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan ini, KTMB telah memperkenalkan dua perkhidmatan tambahan ETS hujung minggu bagi laluan Kluang–KL Sentral mulai 10 Oktober, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Perkhidmatan baharu ini akan beroperasi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, dengan 315 tempat duduk setiap tren, termasuk gerabak kelas perniagaan,” maklum KTMB.
Rata-rata penumpang puji perkhidmatan ETS yang efisien dan selesa, namun berharap harga tiket dapat diturunkan.
Antara pengguna yang menikmati perkhidmatan tren ini ialah Teo Joo Hern, 36, yang melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung halamannya di Kluang, Johor.
“Saya membayar RM147 untuk tiket kelas pertama, dan bagi saya ia berbaloi kerana kemudahan serta makanan dalam tren sangat memuaskan.
“Tempat duduknya selesa dan boleh laras, malah tandasnya juga bersih,” kata Teo.
Teo yang menaiki tren pada hari bekerja berkata suasana agak tenang dan tidak sesak.
“Saya bayangkan perkhidmatan ini akan lebih popular pada hujung minggu dan cuti umum kerana ia membantu mengelakkan kesesakan di lebuh raya,” tambahnya.
Teo berharap akan ada lebih banyak tren untuk laluan tersebut agar dapat meningkatkan jumlah penumpang serta menurunkan harga tiket.
Ahli perniagaan dari Kluang, S. Siva, 56, turut menyuarakan harapan agar harga tiket ETS dapat dikurangkan.
“Jika dibandingkan dengan tambang bas, harga tren masih agak tinggi. Kalau harga lebih berpatutan, lebih ramai termasuk pelajar universiti akan memilih tren sebagai pengangkutan utama mereka,” ujarnya.
Siva yang telah dua kali menggunakan perkhidmatan ETS berkata, perjalanan dari Kluang ke KL Sentral berjalan lancar dan selesa.
“Saya menaiki tren dari Kluang ke KL Sentral buat pertama kali pada awal Oktober lalu untuk melawat anak perempuan saya yang bekerja di ibu kota.
“Saya benar-benar menikmati perjalanan itu. Ia menunjukkan betapa perkhidmatan kereta api kita telah banyak meningkat berbanding zaman muda saya dahulu,” ujarnya.
Menurut KTMB, penambahan tren baharu ini akan memudahkan lagi perjalanan penumpang, khususnya penduduk Kluang yang ingin ke Kuala Lumpur.
KTMB menjelaskan bahawa perjalanan kini menjadi lebih pantas dan selesa tanpa perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas pada hujung minggu.
“Dengan masa perjalanan yang lebih singkat sekitar tiga jam 30 minit, penumpang kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk merancang urusan kerja, mesyuarat atau percutian keluarga ke ibu negara,” jelasnya.
Dalam jadual baharu hujung minggu, tren EP9510 akan berlepas dari Kluang pada 9.33 pagi dan tiba di KL Sentral pada 1 tengah hari, manakala tren EP9515 akan berlepas dari KL Sentral pada 5.35 petang dan tiba di Kluang pada 9.08 malam.
Ini adalah tambahan kepada perkhidmatan sedia ada, tren dari KL Sentral ke Kluang yang berlepas pada 7.45 pagi, dengan perjalanan balik pada 5.15 petang.
KTMB turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus menilai permintaan penumpang bagi mempertimbangkan penambahan perkhidmatan pada musim perayaan, cuti sekolah dan hujung minggu panjang. — TheStar/YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
