Selepas 22 tahun tanpa khabar, wanita rayu bantuan cari ibu kandung di Thailand dapat berita gembira hanya dalam sehari


  • Tular
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Ibu wanita itu pulang ke Thailand selepas kematian ayahnya pada 2003.

TULAR di platform Facebook, seorang wanita tampil merayu bantuan orang ramai bagi menjejaki ibu kandungnya yang sudah terpisah selama 22 tahun selepas pulang ke Thailand pada 2003.

Menerusi hantaran dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook, Ya Norma dalam kumpulan Jejak Kenalan Lama (JKL) Official wanita itu memohon pertolongan orang ramai yang mempunyai kenalan atau jaringan di Thailand bagi membantu pencarian tersebut.

Menurutnya, ibunya iaitu Pan Kiaw Lwang @ Latifah Abdullah dipercayai berasal dari Chiang Mai, Thailand, namun lokasi sebenar daerah atau kampung kediaman tidak dapat dipastikan.

BACA LAGI: MPAJ bakal kenakan caj parkir, atasi masalah salah guna tempat letak kereta

BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia makin pentingkan diri naik lif, wanita OKU tampil buat ‘tutorial’ guna eskalator

"Saya tidak pasti sama ada halaman ini boleh membantu saya kerana saya tiada akses ke kumpulan dari Thailand. Sudah 22 tahun (sejak 2003) saya berpisah dengan ibu kandung saya tanpa sebarang khabar berita," tulisnya dalam hantaran itu.

Ya Norma turut berkongsi bahawa ibunya pulang ke Thailand selepas kematian ayahnya pada 2003 dan sejak itu, mereka sekeluarga tidak lagi menerima sebarang khabar daripadanya.

"Ibu meninggalkan kami tiga beradik. Saya pernah bertanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai rekod kemasukan ibu, tetapi tiada sebarang rekod ditemui," katanya.

Dalam hantaran sama, dia turut menyertakan sijil pendaftaran perkahwinan ibu bapanya yang didaftarkan di Langkawi, Kedah dengan pernikahan diakadkan pada 20 Disember 1987 di Satun, Thailand di hadapan Majlis Jawatankuasa Islam Satun. 

Antara dokumen dimuat naik pengguna Facebook itu.

Ketika itu, ibunya berusia 29 tahun. Turut dikongsikan beberapa salinan dokumen lain seperti sijil kelahiran adik-beradiknya yang mengandungi sedikit maklumat mengenai ibu mereka.

"Saya tak dapat teruskan pencarian kerana negara Thailand sngat besar. dan tidak tahu di daerah dan tempat manakah ibu saya menetap. adakah hidup atau sudah? 

"Saya pernah tanya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ini mengenai rekod kemasukan mak saya, tetapi tiada sebarang rekod selepas itu," katanya. 

Wanita itu turut mengimbas kenangan semasa kali terakhir bersama ibunya ketika itu abangnya berusia 13 tahun dia sendiri 10 tahun dan adik bongsu mereka baru berusia 6 tahun.

Ya Norma mengakhiri hantaran itu dengan luahan penuh emosi, memohon agar mana-mana pihak yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ibunya dapat membantu menjejaki keberadaannya di Thailand.

Namun, selepas kisah itu tular di media sosial, keajaiban berlaku apabila Ya Norma akhirnya berjaya menemui semula pakciknya, iaitu adik kepada ibunya, yang menetap di wilayah Phrae, Thailand.

Sijil perkahwinan ibu bapa wanita itu.

"Subhanallah, MasyaaALLAH Maha Suci ALLAH, jika ALLAH berkehendak, maka jadilah. Dalam masa sehari sahaja selepas viral, saya berjaya berhubung dengan pak cik saya," kongsinya dalam hantaran susulan.

Menurut Ya Norma, pakciknya mengesahkan identiti ibunya berdasarkan beberapa gambar lama yang disimpan keluarga di Thailand, yang sepadan dengan gambar miliknya di Malaysia.

"Berdasarkan keterangan gambar dalam simpanan pak cik saya, benar itu adalah mak saya. Salah satu gambar itu sama seperti dalam simpanan saya. Jadi kuatlah pengesahan bahawa benar itu keluarga saya," katanya dengan penuh rasa syukur.

Bagaimanapun, wanita berkenaan memaklumkan bahawa belum dapat menghubungi ibunya secara langsung kerana ibunya kini berada di wilayah Samut Prakan, Thailand.

Ibunya hilang sejak 2003.

"Buat masa sekarang saya masih tidak dapat menghubungi mak kerana beliau berada di kawasan lain. Pak cik saya akan ke sana pada bulan Januari nanti dan saya akan menunggu perkembangan selanjutnya," ujarnya.

Ya Norma turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli kumpulan dan pengguna media sosial yang membantu menyebarkan kisahnya, sama ada melalui perkongsian, doa atau usaha menyalurkan maklumat.

"Terima kasih buat semua yang membantu, walau sekecil mana pun usaha. Saya amat hargai. Moga segala kebaikan berbalik kepada anda semua, InshaaALLAH," tulisnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram