MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengenakan caj parkir di semua petak bagi meningkatkan hasil pendapatan selain mendidik serta mengelakkan penyalahgunaan ruang parkir awam.
Timbalan Presiden MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, semasa proses kemas kini rekod, pihak majlis mendapati terdapat beberapa kawasan yang masih belum mengenakan caj parkir.
“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan hasil pendapatan majlis serta mengelakkan orang ramai meninggalkan kenderaan mereka terlalu lama di petak parkir,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPAJ di ibu pejabatnya di Pandan Indah, Ampang.
BACA LAGI: Tasik Titiwangsa tawar aktiviti air sambil nikmati suasana latar langit Kuala Lumpur
BACA LAGI: Lagu Tabole bale angkat bahasa Melayu Minang, musik satukan bangsa Nusantara
Buat masa ini MPAJ memiliki hampir 60 kawasan parkir dengan jumlah keseluruhan lebih 17,500 petak.
Hasrolnizam turut memaklumkan bahawa pihak majlis akan mempertingkat pemantauan masalah penyalahgunaan ruang parkir tersebut dan melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya membayar caj parkir yang ditetapkan.
Sehingga 16 Oktober, MPAJ telah mengutip RM7 juta hasil bayaran parkir, termasuk petak khas (RM3.23 juta), pas bulanan (RM202,000), pas penduduk (RM271,000) dan kutipan dalam talian (RM3.3 juta).
Daripada jumlah keseluruhan itu, RM3.6 juta telah disalurkan kepada unit pelaksanaan Smart Selangor.
Dalam perkembangan berasingan, Hasrolnizam berkata, kutipan cukai taksiran MPAJ hampir mencapai sasaran RM98 juta bagi tahun ini.
“Bagi tunggakan pula, MPAJ telah berjaya mendapatkan bayaran 63 peratus daripada RM20.1 juta yang masih tertunggak setakat ini,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pelbagai langkah telah diambil bagi meningkatkan kadar kutipan cukai taksiran. Ini termasuk menyediakan kaunter bergerak di beberapa lokasi terpilih untuk memudahkan orang awam membuat bayaran.
Pada bulan ini, MPAJ telah membuka kaunter di pusat khidmat Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, serta di pasar pagi Taman Muda.
Selain itu, notis telah dihantar kepada 332 pemilik hartanah dengan jumlah tunggakan melebihi RM270,000, melibatkan kawasan Taman Pandan Mesra, Taman Sri Watan, Taman Dagang Jaya, Taman Mulia Jaya, Lembah Jaya Selatan, Lembah Jaya Utara dan Taman Angsana Hilir.
“Langkah-langkah ini juga disokong oleh penubuhan Skuad Hasil Khas, yang terdiri daripada 105 kakitangan MPAJ, bagi memastikan pemilik yang masih berhutang dapat melunaskan tunggakan cukai mereka,” tambahnya. — TheStar/FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
