MALAYSIA kini memasuki fasa musim tengkujuh dengan boleh dikatakan hampir setiap petang hujan akan turun sehingga ke lewat malam.
Musim seperti ini kebiasaannya membawa hujan lebat ke negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak dari bulan November hingga Mac setiap tahun.
Namun, jangan biarkan hujan mematahkan semangat anda untuk berlibut. Selagi anda tidak melakukan aktiviti rekreasi luar seperti melawat pulau atau berkelah di air terjun, masih banyak cara untuk menikmati hari-hari hujan.
BACA LAGI: Nampak tak masuk akal, ciri-ciri futuristik antara 5 sebab kenapa 'concept car' tetap dihasilkan
BACA LAGI: Semarakkan karya tempatan, rancangan hidupkan semula Festival Teater Kebangsaan pada 2026
Jadi, apa kata lakukan lima aktiviti yang dicadangkan ini.

Percutian di resort pada musim tengkujuh tidak ramai berbanding waktu biasa. — Agensi
Bersantai di resort
Resort tepi pantai biasanya mempunyai kadar penginapan lebih rendah ketika musim hujan, menjadikannya masa yang ideal untuk percutian singkat atau untuk lari sebentar dari kesibukan kota.
Keadaan itu, juga sesuai bagi mereka yang ingin mengelak daripada kesesakan pelancong.
Kurang orang bermakna masa menunggu lebih singkat, suasana lebih tenang, dan kakitangan resort lebih fokus memberi layanan kepada tetamu.
Johor mempunyai banyak resort mewah yang berbaloi untuk anda berbelanja lebih sedikit, kerana peluang untuk kecewa juga lebih rendah atas sebab-sebab tersebut.
Sesetengah resort turut menawarkan aktiviti dalaman seperti kelas memasak, melukis batik, atau rawatan spa, agar pengunjung benar-benar dapat berehat dan menenangkan diri.
Tapi awas, bercuti di resort pada musim hujan juga boleh mengundang bahaya dengan ancaman ombak besar dan ribut kuat.
Jadi jauhi sebarang aktiviti pantai dan fokus kepada aktiviti 'indoor' seperti dinytakan di atas.

Beli-belah di pasar tempatan, seperti Pasar Payang di Terengganu, untuk menyokong masyarakat setempat. — Agensi
Meneroka pasar tempatan
Nyatakan sokongan kepada komuniti tempatan dengan membeli cenderamata hasil buatan tempatan sendiri sama ada dalam bentuk makanan atau hasil kraf tangan di pasar-pasar tempatan.
Antaranya lokasi menarik ialah Pasar Payang, Terengganu, Pasar Siti Khadijah, Kelantan, dan Anjung Kinabalu, Sabah. Lokasi berbumbung itu sesuai untuk anda teroka dengan selesa ketika hujan.
Anda boleh menghabiskan masa berjam-jam berjalan di setiap bahagian sambil menikmati hidangan di gerai makanan.
Ini juga cara yang menyeronokkan untuk mendalami budaya tempatan, tidak kira negeri mana yang anda lawati.
Setiap negeri mempunyai identiti snek tersendiri mislanya keropok lekor di Terengganu, akok di Kelantan, dan amplang di Sabah.
Pastinya, jangan lupa membawa payung kerana anda perlu bersedia mengharungi cuaca hujan yang tidak menentu.

Borneo Cultures Museum di Kuching, Sarawak. — Agensi
Melawat muzium
Walaupun tidak semua muzium di Malaysia menawarkan kemasukan percuma, kebanyakannya hanya mengenakan bayaran serendah RM2 untuk dewasa.
Keadaan tersebut menjadikannya aktiviti dalam bangunan itu mesra bajet.
Luangkan masa meneliti setiap pameran sambil mempelajari sejarah dan budaya negara atau negeri tertentu.
Semakin besar muzium, semakin lama masa yang boleh anda habiskan waktu di sana. Contohnya Borneo Cultures Museum di Kuching, Sarawak.
Walaupun harga tiketnya sedikit tinggi iaitu RM10 seorang, muzium lima tingkat ini menampilkan pameran interaktif yang menarik untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Bahkan, tersedia taman permainan kecil untuk memastikan kanak-kanak kecil tidak bosan semasa lawatan.

Tasik Kenyir, Pahang. — Agensi
Memancing
Jika anda seorang pemancing berpengalaman dan tegar, aktiviti berhampiran kawasan air yang luas semasa musim monsun masih boleh diterima.
Mungkin sedikit risiko namun sebagai individu yang gila memancing, Tasik Kenyir di Terengganu ialah destinasi yang wajib dikunjungi kerana musim ini biasanya membawa banyak ikan toman bersaiz besar .
Aktiviti pancingan monsun di sini begitu popular hingga Tasik Kenyir turut menjadi lokasi bagi Kejohanan Memancing Monsun Antarabangsa (International Monsoon Casting Tournament) yang lazimnya diadakan pada bulan Disember.

Meluncur air dan ombak di Cherating, Pahang. — Gambar Hiasan
Meluncur ombak
Sekali lagi, aktiviti ini hanya sesuai dilakukan oleh mereka yang benar-benar berpengalaman.
Walaupun kelihatan berisiko untuk turun ke laut ketika ombak kuat, keadaan ini sebenarnya mewujudkan gelombang yang ideal untuk aktiviti meluncur air yang luar biasa.
Cherating, Pahang merupakan destinasi utama untuk aktiviti tersebut kerana pantai di sana terkenal dengan ombak monsun yang besar. Ia menarik ramai peluncur dari dalam dan luar negara.
Malah, Cherating turut menjadi lokasi penganjuran pelbagai pertandingan meluncur antarabangsa, termasuk Cherating International Surfing Competition, yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Pahang. — The Star/FLOREY D. MIKIL
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
