
MENELUSURI dunia seni di Malaysia bukan satu perkara yang mudah namun kekuatan dan semangat artis-artis yang ada, tidak pernah luntur malah menjadi satu misi besar dalam mengangkat seni ke pentas dunia.
Sebut saja seni, mungkin ramai yang berfikir atau merujuk kepada lukisan dan gambar yang digantung di dinding-dinding galeri.
Namun, bak kata orang karyawan, seni itu luas. Berlatar belakang dunia perfileman, Jonathan Jayasuria, 28, memilih untuk mengekspresikan bentuk seninya berdasarkan binaan figura dan item daripada barangan terpakai.
Antara koleksi yang dipamerkan padan malam tersebut dan ada yang sudah terjual.
Mesra dipanggil John, artis ini menggunakan kemahiran visual yang ada pada bola matanya kepada sebuah ciptaan menggunakan pengalaman dirinya sebagai pembuat cerita filem.
“Kalau tengok balik, ada yang macam kapal terbang, robot, tentera dan banyak lagi dengan keadaan yang macam ala-ala dunia selepas kiamat.
“Semua benda dah hancur dan manusia meneruskan hidup dengan apa yang ada,” ujarnya ketika ditemui sehari sebelum melancarkan pameran solo pertama di Awegallery bertajuk The Automaton Project 2025.
Koleksi yang memperlihatkan seperti sepasukan tentera (menurut penulis) dan penutup putih gam digunakan sebagai topi.
Melihat daripada sudut genre atau idea, John berkongsi inspirasi dan ideanya setiap kali mencipta sesuatu objek adalah bermula daripada ayahnya yang sejak kecil lagi sudah membawanya menonton wayang.
“Hampir semua cerita di wayang yang bapa saya bawa masa kecil-kecil dulu, jenis filem angkasa, robot perang macam Star Wars, Indiana John Alien, Matrix dan banyak lagi.
“Sebab itu kalau tengok barang-barang depan ini, dia ada macam sedikit metafora atau sinematik dalam filem macam itu.," katanya.
Koleksi daripada sebuah hobi kepada pertemuan dunia seni dan perfileman yang cukup unik daripada John.
Berbicara mengenai penggunaan bahan terpakai mungkin saja segelintir daripaad masyarakat ada yang mengatakan seni yang dihasilkan nilainya rendah.
“Tapi, bila mereka melihat subjek yang dah siap yang menggunakan barang macam penutup gam, besi halus, mentol dan macam-macam lagi, bukan barang terpakai yang menjadi persoalan.
“Akan tetapi reaksi terkesima mereka dan wajah tertanya-tanya apakah rekaan saya ini yang sebenarnya? Adakah orang, kenderaan atau kapal angkasa?,” katanya yang berasal daripada Petaling Jaya, Selangor.
John mengakui pilihan untuk bawa hobinya dalam dunia seni yang berbentuk sebegini rupa bukan satu perkara yang mudah.
Anak pertama daripada dua beradik itu ingin menunjukkan bahawa perjuangannya dalam seni di Malaysia adalah sebuah misi yang besar.
Ia merupakan penampilan daripada sebuah hobi kepada pertemuan dunia seni dan perfileman yang cukup unik, memandang John juga seorang pembuat video pendek berkonsepkan filem.
John mengakui pilihan untuk bawa hobinya dalam dunia seni yang berbentuk sebegini rupa bukan satu perkara yang mudah.
“Where art meet cinema, ini yang saya nak gambarkan. Mungkin ramai yang tidak faham kenapa saya pilih haluan seperti ini tapi bila orang tengok saja hasil tangan saya, pasti mereka akan cakap ‘macam mana kau buat ni ya?.
“Bukan mudah untuk hasilkannya dan lagi susah kalau nak cakap pasal idea. Sebagai contoh, kotak bateri, bukannya barang itu saya jumpa terus pakai. Kadang-kadang saya simpan dalam bekas dahulu, 6 bulan lepas itu baru gunakan,” jelasnya.
Sikat antara barang terpakai yang digunakan menjadi item premium dan menarik di atas.
Bercakap mengenai 66 koleksi eksklusifnya yang dibawa untuk pamerannya itu, hampir semua objek yang dihasilkannya tidak memiliki nama spesifik.
Perkara tersebut sengaja dibiarkan sengaja kerana bagi John, dia ingin melihat apakah yang difikirkan dan dikaitkan oleh orang lain tentang objek yang dilihat.
“Setiap mata dan pandangan manusia berbeza. Ada yang kata macam tentera, kubur dan ada juga yang cakap macam robot masa depan.
“Terus terang saya katakan, perbezaan jawapan yang diberikan oleh orang yang melihat barang atas meja ini adalah satu kejayaan, kepuasan dan sebuah pencapaian buat saya. Kebanyakannya cakap nampak pelik tapi gempak,” ujarnya.
The Automaton Project 2025 merupakan pameran solo John sebagai lambang perjuangannya dalam dunia seni.
Pembikinan setiap satu barang mengambil masa yang tidak menentu oleh kerana saiz, idea dan bentuknya berbeza-beza.
Persediaan yang dilakukan sebelum pameran itu saja sudah mengambil masa 6 bulan, memang satu usaha yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Sementara itu, Pengarah Awegalerry, Dora Ong, 49, berkata pameran yang di usulkan oleh John di tempatnya itu adalah sesuatu yang unik dan luar biasa.
"Pada awalnya, saya juga agak keliru dan tidak dapat bayangkan apakah yang ingin dilakukan oleh John, Namun, setelah dia hadir pada hari instalasi, memang agak mengejutkan.
"Apa yang ingin dibawakan oleh John adalah satu landskap seni yang begitu berbeza dengan pameran yang pernah saya lihat sebelum ini. Saya memang teruja dan sangat mengalu-alukan kehadiran semua orang untuk melihat hasil karja John dalam dunia seni ini," katanya yang juga seorang artis dan pelukis.
Maka, buat anda yang ingin melihat hasil seni dan koleksi John di depan mata, pameran The Automaton Project 2025 berlangsung bermula dari 10 hingga 20 Oktober 2025 ini di Awegallery, Petaling Jaya.
Malahan, jika ada di antara 66 item di pameran tersebut yang menimbulkan minat anda untuk memilikinya, John sedia melepaskannya dengan harga yang berpatutan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram