JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) merancang untuk menghidupkan semula Festival Teater Kebangsaan tahun hadapan bagi menyemarakkan semula perkembangan teater tempatan yang dilihat semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Pengarahnya (Kebudayaan dan Kesenian), Mohd Radzi Omar berkata, festival tersebut kali terakhir diadakan pada 2019. Sejak dari itu, perkembangan dunia teater di Malaysia menjadi perlahan.
“Walaupun terdapat penganjuran oleh organisasi swasta dan kumpulan tertentu, peranan kerajaan amat penting dalam memastikan kesinambungan teater,” katanya selepas persembahan teater kanak-kanak bertajuk Di Mana Putra? yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
BACA LAGI: Nampak tak masuk akal, ciri-ciri futuristik antara 5 sebab kenapa 'concept car' tetap dihasilkan
BACA LAGI: Raikan kekayaan biodiversiti Malaysia, ini 5 lokasi semula jadi berbaloi dilawati
Beliau menambah bahawa agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) aktif menganjurkan persembahan di Kuala Lumpur setiap minggu, manakala kompleks kebudayaan di peringkat negeri turut menyediakan kemudahan yang boleh dimanfaatkan.
Mohd Radzi berkata, JKKN kini sedang dalam usaha mendapatkan peruntukan bajet yang diperlukan bagi menganjurkan semula festival tersebut, selepas kejayaan penganjuran Festival Tari Kebangsaan awal tahun ini.
“Kami akan menganjurkannya secara bergilir, satu tahun Festival Tari, dan tahun berikutnya Festival Teater,” katanya.
Beliau menekankan bahawa festival ini bukan sahaja perlu menjadi platform pertandingan, tetapi juga perlu mempunyai susulan aktiviti persembahan, bagi membantu kumpulan teater kekal aktif.
Beliau turut menjelaskan bahawa kumpulan-kumpulan ini sering dibubarkan selepas festival kerana kekurangan aktiviti berterusan, dan bercadang supaya mereka diberi peluang untuk membuat persembahan di lokasi lain, termasuk mengendalikan bengkel teater di sekolah-sekolah.
Mengenai keadaan semasa kumpulan teater tempatan, beliau berkata, kebanyakannya kini beroperasi secara bebas dan tidak memberi tumpuan kepada teater Bahasa Malaysia.
“Kebanyakan kumpulan teater aktif hari ini lebih menumpukan kepada persembahan dalam Bahasa Inggeris seperti di KLPac. Teater Bahasa Malaysia pula banyak bergantung kepada sokongan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan menyediakan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada NGO dan syarikat seni budaya, dengan peruntukan tahunan kira-kira RM30 juta bagi menyokong aktiviti seni termasuk teater, tarian dan muzik.
“Kami berharap sokongan ini akan diteruskan tahun hadapan bagi memastikan pembangunan dan pengembangan seni serta budaya negara terus subur,” katanya.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
