Perkhemahan solo gamit ketenangan jiwa, dekatkan diri dengan Tuhan


  • Hobi
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Penat melayan perangai dan tingkah laku manusia menjadi sebab mengapa Eddie Putera banyak menghabiskan masa di dalam hutan.

 

 

AKTIVITI perkhemahan tidak semestinya perlu dilaksanakan secara berkumpulan. Ia boleh juga dijadikan sebagai kaedah atau cara untuk anda bersendirian menenangkan jiwa dan fikiran.

Sepertimana dikongsukan pengalaman oleh seorang penjelajah dan pengembara, Eddie Putera di Facebook, dia sering memilih untuk berkhemah secara solo di dalam hutan sejak dari muda.

Ia berikutan dirinya yang lebih selesa menjalani kehidupan luar secara bersendirian termasuk mendaki gunung.

BACA LAGI: Nampak tak masuk akal, ciri-ciri futuristik antara 5 sebab kenapa 'concept car' tetap dihasilkan

BACA LAGI: Raikan kekayaan biodiversiti Malaysia, ini 5 lokasi semula jadi berbaloi dilawati

 

 

Antara faktor yang menyebabkan Eddie Putera melakukan sedemikian adalah kerana dia tidak mahu membebankan sesiapa.

“Semuanya seorang diri, aku tidak pernah gemar berkhemah di campsite yang sedia ada atau mendaki laluan rasmi.

“Sebaliknya, aku mencari pinggir-pinggir hutan, tepi laut yang tiada berpenghuni atau meneroka hutan menggunakan laluan baharu untuk mencari punca air.

“Kalau malas berjalan jauh atau perlu membawa banyak barang, aku akan mencari laluan lori balak dan berhenti di mana-mana lokasi sesuai untuk 'car camping',” katanya menerusi perkongsian di kapsyen Facebook.

Faktor yang menyebabkan Eddie Putera melakukan sedemikian adalah kerana dia tidak mahu membebankan sesiapa ketika melakukan aktiviti tersebut.

“Jika tersesat, jatuh, atau mati di tepi gaung, biarlah aku seorang yang tanggung, aku tidak mahu orang lain bersusah-payah mencari jasadku di tempat yang mereka pun tidak tahu.

“Biar tuhan saja yang tahu di mana akhirnya aku berada,” ujarnya.

Penat melayan perangai dan tingkah laku manusia menjadi sebab kedua mengapa Eddie Putera kerap masuk hutan seperti masuk ke pusat beli-belah.

 

 

Eddie Putera merasakan di hadapan alam yang luas, dia sedar betapa kecil dirinya di muka bumi.

Dia turut tidak bersetuju dengan sesetengah kumpulan yang datang berbual dengan kuat sambil membawa peranti hiburan ketika berkhemah.

“Aktiviti camping pula sudah berubah, ada yang bawa projektor tengok wayang, karaoke sampai pagi, anak-anak pula sibuk dengan iPad. Kalau begitu, lebih baik duduk di rumah sahaja.

“Aku masuk hutan atau berkhemah kerana mahu bersendirian dengan Tuhan. Di sana, tiada sesiapa yang boleh menolong kalau terjadi apa-apa.

“Saat itulah aku benar-benar menyerahkan diri sepenuhnya kepada-Nya,” ujarnya yang melihat pergerakan secara solo adalah cara untuk dia dekat dengan Sang Pencipta.

Malah di hadapan alam yang luas, dia sedar betapa kecil dirinya di muka bumi. Ego dan rasa ‘entitled’ dalam diri perlahan-lahan hilang, membuatkan dirinya bertambah sedar kembali berpijak di bumi nyata.

“Kita sering rasa diri hebat, bila orang langgar bahu di 7-Eleven, kita jeling mata. Bila tunggang motosikal hon sedikit nak mengamuk.

“Kereta tukar lorong tanpa signal pun boleh buat kita marah dan nak diviralkan, sampai tersepak batu pun kita maki,” ujarnya.

Jelasnya jika bersendirian di dalam hutan, segala jenis makian akan jadi tunggul dan tiada siapa yang peduli.

“Saat itu, baru kita sedar, dunia ini tidak berpusat pada diri kita,” terangnya.

Komen seorang pengikut di ruangan komen.

Rata-rata warganet melihat perkongsian tersebut sebagai sebuah inspirasi dengan apa yang dinyatakan oleh Eddie Putera di ruangan komen.

“Ok, semua uncle cakap sangat betul bahagian camping bawak projector layan movie dalam hutan. baik duk rumah. Memang nice #Niamliving tu,” komen seorang pengguna media sosial.

 

 

Tangkap layar ruangan komen.

Namun, ada juga yang tidak sependapat dengan Eddie Putera.

"Tindakan awak cuma menyusahkan orang. Jangan jadi punca orang hilang atau maut nanti penyelamat susah nak cari dan kenal pasti.

"Kalau nak ketenangan, guna akal, ada banyak cara untuk berlindung tanpa menyusahkan orang lain. Ramai yang pergi berkhemah atau mendaki termasuk ke luar negara tetapi mereka maklumkan keluarga atau rakan," komen Shah Reza Mohamed.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram