
KADANGKALA perbalahan ataupun salah faham kecil antara suami isteri yang merupakan asam garam kehidupan perkahwinan boleh menjadi besar apabila terdapat campur tangan mentua.
Tambahan pula, sekiranya pasangan suami isteri tersebut tinggal sebumbung baik bersama ibu atau bapa mentua.
Benar, sebagai anak kita perlu menumpahkan kasih sayang kepada mentua sama seperti layanan diberikan kepada ibu dan bapa sendiri.
Salah satu ciri mentua yang baik adalah tidak pernah menganggap menantu orang luar, sebaliknya melayan seperti anak sendiri.
Pun demikian, cinta dipamerkan itu bukan tiket untuk mentua boleh campur urusan anak dan menantu sesuka hati sehingga menjejaskan jalinan keharmonian. Sewajarnya semua pihak perlu saling hormat-menghormati.
Menerusi sebuah hantaran di Facebook, salah satu daripada tujuh ciri atau tanda mentua yang baik adalah mereka tidak pernah campur urusan rumah tangga anak dan menantu.
Kemudian, anggapan menantu adalah orang luar dan bukan seperti anak sendiri adalah sifat perlu dihindari.
“Tanda mentua yang baik, tak pernah menganggap menantunya orang lain, sebaliknya layan seperti anak sendiri.
“Tak pernah membanding-bandingkan menantu dengan menantu lain,” katanya dalam kapsyen hantaran tersebut.
Selain itu, turut dikongsikan mentua yang baik tidak menuntut menantunya menjadi seperti apa dimahukan, tidak suka menyalahkan dan mencari kesalahan menantu.
Bahkan, membantu menantu ketika dalam kesusahan dan tidak menyebarluaskan aib.
Tangkap layar ruangan komen di Facebook.
Rata-rata warga maya amat menyokong perkongsian tersebut dan pelbagai pengalaman peribadi dikongsikan.
“Alhamdulillah, saya mak mertua kepada dua menantu lelaki dan seorang menantu perempuan. Saya sayang menantu-menantu seperti anak sendiri.
“Kalau orang tak tahu ingat tiga menantu saya itu anak sendiri. Mereka boleh berbual-bual dan bergurau macam anak sendiri.
“Saya ingin berpesan jadilah mentua, tidak campur rumah tangga anak menantu. Insya-ALLAH, mereka akan sayang kita seperti mak dan ayah sendiri,” kongsi seorang mentua di ruangan komen.
Turut berkongsi, seorang lelaki berpangkat menantu menghargai ayah mentua yang sudah meninggal dunia.
“Arwah bapa mentua antara yang terbaik yang kenali, tidak pernah sekali pun marahkan saya selama berbelas tahun jadi menantu. Dia menyanyangi saya dan cucu melebihi anak sendiri.
“Walaupun tak bercerita keadaan saya, tapi dia boleh baca 'air muka' dan tahu saya sedang ada masalah. Semoga abah tenang di alam sana,” luahnya.
Peliharalah hubungan bersama menantu sebaik-baiknya. Mereka umpama anak sendiri.
Jangan sesekali sangsi atau memiliki rasa curiga dengan kebolehan mereka kerana setiap menantu memiliki keistimewaan masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram