Berdiri depan pintu rumah, tak singgah lama-lama, Fila kongsi budaya raya di Guinea, suami gemar sambal ikan goreng


  • Relaks
  • Ahad, 06 Apr 2025

Video bertajuk 'Apa suami Afrika makan waktu raya' itu, berjaya mencuri perhatian warga maya.

PERKAHWINAN campur menyaksikan pelbagai adat dan budaya dalam kehidupan seharian termasuk suasana meraikan Hari Raya Aidilfitri. Setiap negara dan etnik mempunyai cara tersendiri.

Pempengaruh terkenal, Nur Afilah Amir Rusdi atau Fila Amir berkongsi momen lebaran tahun ini bersama suami tercinta Muhammad Adama Camara yang berasal dari Guinea sambil menceritakan perbezaan suasana beraya di dua negara.

Menurut Fila yang beraya di kampung halamannya di Kedah, detik-detik kemeriahan hari raya sudah bermula pada petang raya dengan mengadakan acara makan barbeku.

BACA LAGI: Elak bungkus makanan dengan plastik, kempen BYOT galak masyarakat hidupkan kembali amalan penggunaan mangkuk tingkat

BACA LAGI: Bukan ibu saja bergaya, anak-anak selebriti pun sama melaram, bertukar-tukar baju raya

Fila (kiri) dan Adama sedondon berbaju raya warna biru beraya di Kedah tahun ini.

Sebaliknya, jika di kampung halaman suami, raya Aidiladha lebih meriah berbanding Aidilfitri. Amalan ziarah-menziarahi agak berbeza kerana yang singgah ke rumah akan bermaaf-maafan kemudian terus pulang ke rumah.

“Berbeza ya budaya beraya di Malaysia dan di Guinea, raya Aidilfitri tak berapa meriah sangat, raya haji lebih meriah.

“Lepas itu tiada makan macam-macam di Malaysia, kadang pergi beraya pun berdiri depan pintu saja dan tidak singgah lama-lama, sudah bermaafan terus balik,” jelasnya.

Tangkap layar video bertajuk ‘Apa suami Afrika makan waktu raya’ mencuri perhatian warga maya.

Video yang dimuat naik oleh Fila yang sedang berbadan dua dengan tajuk ‘Apa suami Afrika makan waktu raya’ itu, mencuri perhatian warga maya apabila menyaksikan Adama menikmati pelbagai jenis juadah pada hari raya.

“Pagi raya mestilah solat raya dulu, dah balik saya makan nasi dan sambal ikan goreng,” ujar Adama dalam video tersebut.

Kemudian, pasangan tersebut dilihat pergi beraya sambil menikmati nasi bersama gulai ikan di rumah saudara Fila dan beberapa lagi juadah termasuk lemang bersama gulai daging.

Raya kedua juga masih menunjukkan kemeriahan suasana hari raya dengan bermacam-macam makanan enak.

“Raya kedua pagi-pagi saya sudah cari nasi. Lepas itu pergi beraya lagi dan lagi seronok makan lemang jagung dan rendang pula,” tambah Adama.

Tangkap layar ruangan komen di Instagram Fila Amir.

Rata-rata pengikut pasangan pempengaruh tersebut tidak melepaskan peluang mengucapkan selamat hari raya dan gembira melihat gelagat mereka ketika beraya.

“Bagus suami isteri ini raya semua sedara makan-makan dan cerita yang best,” kata pengikutnya di ruangan komen.

“Suara (video) Adama ni lain macam kelakar dia, kegemaran betul sambal ikan tu,” komen seorang lagi.

Terdahulu, Fila dan Adama telah bernikah pada 2019 dan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Perkenalan mereka menjadi tular apabila Fila berkongsi detik bertemu lelaki yang berasal dari Afrika itu di Pavilion KL, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram