[VIDEO] 'Kami tumpang rahmat ALLAH, Ali hadiah istimewa Hari Ibu'


Ikuti perkongsian lanjut tentang keluarga Zaila dan perkongsian tentang perkahwinan campurnya dalam segmen Duduk Sembang edisi khas Hari Ibu

 

 

KETABAHAN seorang ibu membesarkan anak syurga kurniaan ALLAH SWT pasti sukar ditandingi kerana cara asuhan yang jauh berbeza daripada kanak-kanak normal.

Demikian dirasakan Zaila Mohamed Ali, 47, yang menganggap dirinya bertuah dan mendapat rahmat daripada-NYA apabila berpeluang membesarkan anak ketiganya, Mohammad Ali, 4, yang menghidap lumpuh otak atau cerebral palsy.

Ibu kepada tiga cahaya mata yang mengahwini lelaki warganegara Afrika, melihat Ali sebagai anugerah dan kurniaan ALLAH SWT yang cukup istimewa buat mereka sekeluarga.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Staycation' di tengah hutan batu, dekorasi ultra moden bagai berada di angkasa

BACA LAGI: [VIDEO] 'Check out' Laman Iskandar Puteri, flora dan faunanya gamit warga kota aktif beriadah

 

 

Zaila bersama suami dan anak, Ali yang mengidap cerebral palsy.

“Saya tidak pernah putus asa, cuma tak sangka kerana sebelum ini selalu dengar hal anak orang (kurang sempurna), tiba-tiba saya pula dikurniakan Ali dan saya mahu Ali terus kuat.

“Kami tidak memikirkan bagaimana masa depan Ali, saya nak jalani hidup bersama Ali seperti keluarga lain, ikut saja arus itu,” katanya dalam segmen Duduk Sembang bersama Majoriti.

 

 

Tidak dinafikan, naluri seorang ibu pastinya terkejut dan sedih apabila mendengar berita tentang kekurangan anak yang dilahirkan dan sebagai manusia biasa, Zaila tidak terlepas daripada perasaan tersebut pada awalnya.

“Awal-awal dulu, saya dapat tahu Ali istimewa semasa semasa usianya setahun, sampailah saya lihat pergerakan Ali terbatas tidak seperti kanak-kanak lain dan saya buat pemeriksaan MRI.

"Tipulah jika saya tidak berasa sedih, hati saya luluh, tapi Alhamdulilah, suami saya sentiasa berikan kata-kata semangat untuk kita tidak fokus kepada masalah itu.

Zaila amat bersyukkur memiliki suami yang sangat bersabar dan menjadi sumber kekuatan dalam mendidik anak istimewanya itu.

Berbicara mengenai tahap kesabaran, Zaila turut berkongsi Ali akan tantrum pada waktu tertentu.

“Kalau Ali tak cukup tidur, dia akan menangis dan meraung. Memang susah nak pujuk dan keadaan itu boleh berlarutan hingga 30 minit.

“Jadi untuk hal ini, saya berterima kasih sangat kepada suami. Dialah sangat penyabar dan banyak membantu saya dalam situasi ini,”jelasnya.

Zaila merasakan dirinya bertuah kerana dikurniakan anak syurga.

Bahkan, Zaila menekankan pengorbanan dan tolak ansur sangat penting antara suami dan isteri.

“Kami ini menumpang rahmat ALLAH untuk (Ali) tarik kami ke syurga bersama, saya yakin jika saya sudah tiada, Ali ada kakak-kakaknya untuk menjaganya,” terangnya.

Diberi nama sempena datuk dan lagenda peninju, Zaila berharap dalam tempoh 10 tahun, Ali sekurang-sekurangnya sudah boleh berdikari dan sudah ada kemahiran dalam menguruskan diri sendiri.

Ikuti perkongsian lanjut tentang keluarga Zaila dan perkongsian tentang perkahwinan campurnya dalam segmen Duduk Sembang edisi khas Hari Ibu di Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram