[VIDEO] Kejohanan cipta minuman mocktail promosi, kreativiti perluas industri pelancongan negara


  • Relaks
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Acara ini bertujuan untuk mempromosikan kreativiti, inovasi dan kebanggaan tempatan melalui seni penyediaan mocktail.

SEBUT saja ‘mocktail’ pasti ada yang keliru adakah air tersebut boleh diminum atau tidak memandangkan menu tersebut boleh dilihat di sebahagian restoran yang menyajikannya.

Ia adalah minuman tidak beralkohol yang meniru rasa dan penampilan seakan-akan cocktail (minuman beralkohol).

Nama itu sendiri berasal daripada perkataan 'mock' yang bermaksud tiruan yang mana ia diolah daripada perkataan ‘cocktail’.

Ia adalah campuran jus buah, soda, sirap, rempah-rempah dan hiasan tanpa tambahan alkohol serta yang paling penting tidak memabukkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Hobi sejak kecil bawa tuah, gubahan bunga anak jati Terengganu libatkan diri hiasi majlis kenamaan

BACA LAGI:  [VIDEO] Trek semakin licin akibat hujan lebat tak halang usaha tawan puncak Gunung Ledang

Salah satu minuman mocktail yang menggunakan air tin berperisa tebu.

Baru-baru ini, sebuah kejohanan mencipta mocktail, Signature VM 2026 MocktailChampionship 2025 (SMC 2025), telah diadakan di Imperial Lexis, Kuala Lumpur menggunakan minuman berjenama Yeo's untuk menghasilkan rasa yang unik dan luar biasa.

Ia bertujuan untuk mempromosikan kreativiti, inovasi dan kebanggaan tempatan melalui seni penyediaan mocktail, selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026 dan gerakan global ke arah gaya hidup minuman tanpa alkohol.

Kerjasama tersebut juga menyokong perkembangan dunia mocktail tempatan dan pertumbuhan sektor hospitaliti di Malaysia.

Pelbagai jenis campuran minuman unik dan luar biasa ditonjolkan oleh 32 peserta SMC 2025.

Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen mendalam daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) & Perikatan Mixologi M.F.B.E.A (MAM), Yeo’s dan beberapa lagi agensi dalam mengangkat bakat tempatan serta membawa rasa unik Malaysia ke persada dunia.

Pada masa sama, acara tersebut memberi inspirasi kepada penciptaan mocktail untuk membawa rasa tersendiri Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Ini termasuk menawarkan pengalaman yang mengingatkan diri kita kepada kampung halaman tidak kiralah di Malaysia atau rantau Asia lain, sambil memperkukuh imej negara sebagai destinasi yang mesra serta mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Antara minuman buah-buahan Yeo's yang menjadi bahan utama untuk mencipta minuman mocktail.

SMC 2025 menghimpunkan 32 peserta dari pelbagai hotel di seluruh Malaysia dan masing-masing akan mempersembahkan mocktail ciptaan mereka kepada panel juri yang dihormati.

Para peserta dicabar untuk menggambarkan 'Malaysia dalam Segelas', meraikan bahan tempatan, warisan dan penceritaan melalui rekaan minuman.

Ikuti video penuh suasana kejohanan SMC 2025 dan aksi peserta dalam mengolah dan menggoncangkan campuran minuman buah-buahan dalam segmen Eksplorasi@Mj di Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram