Penonton vaksin Sinovac wajib ‘booster’ nak masuk stadium — MFL


  • Podium
  • Jumaat, 04 Mac 2022

PENONTON yang menerima vaksin Sinovac wajib mendapatkan dos penggalak sebagai syarat memasuki stadium. — The Star

PENONTON bagi penerima vaksin Sinovac diwajibkan mengambil dos penggalak, sebagai syarat utama untuk memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2022, kata Stuart Ramalingam.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu berkata, Jabatan Belia dan Sukan Sukan Negara telah memaklumkan pihaknya berhubung maklumat status vaksinasi bagi pegawai, pemain, petugas dan penonton bagi perjalanan Liga Malaysia pada tahun 2022.

"Ingin dimaklumkan bahawa bagi penerima vaksin primer Sinovac berusia 18 tahun ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

“Ini kerana tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu 28 Februari 2022 kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022, di mana status vaksinasi lengkap akan ditukarkan kepada tidak lengkap sekiranya belum mendapatkan dos penggalak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penerima lengkap bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca tanpa suntikan dos penggalak yang berusia 60 tahun ke atas akan dikira sebagai status vaksinasi tidak lengkap.

Justeru, katanya, sekiranya mereka masih tidak mengambil suntikan dos penggalak sehingga 31 Mac 2022, mereka tidak dibenarkan memasuki stadium, sebagaimana individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan.

"Manakala hanya kanak-kanak umur 13 tahun ke atas dibenarkan hadir ke stadium jika lengkap dua dos vaksinasi," katanya.

Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan penonton ke stadium yang dikeluarkan oleh MFL adalah mengikut ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Fasa 4, yang mana kuota kemasukan penonton bagi setiap perlawanan adalah 50 peratus daripada kapasiti stadium atau maksimum 20,000.

Berdasarkan ketetapan sebelum ini, hanya penonton yang lengkap vaksinasi serta dos penggalak dibenarkan masuk ke stadium.

MFL juga menggalakkan agar golongan dewasa berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit kronik dan individu kontak rapat bergejala supaya tidak hadir ke stadium.

Buat masa ini, selaras peredaran SOP semasa pihak kerajaan, sebarang aktiviti makan minum sepanjang berada di dalam stadium semasa separuh masa pertama atau sepanjang perlawanan adalah tidak dibenarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram