'Kami amat kesal dianaktirikan MFL, apakah ada tangan ghaib?'


  • Massa
  • Khamis, 24 Feb 2022

KELAB penyokong KL City kecewa dengan jumlah tiket diperuntukkan kepada mereka pada perlawanan Piala Sumbangsih. — KL CITY FAN CLUB

KELAB Penyokong Kuala Lumpur (KL) City menggesa agar Malaysian Football League (MFL) bersikap lebih adil dan saksama untuk mengadakan perlawanan Piala Sumbangsih di stadium berkecuali.

Dalam satu kenyataan kepada Majoriti, kelab penyokong itu terkejut dengan keputusan mengadakan perlawanan antara KL City dan JDT di SSI walaupun Piala Sumbangsih edisi 2021 turut diadakan di stadium sama.

"Jika diikutkan pada 2021, Piala Sumbangsih antara JDT dan Kedah juga diadakan di SSI.

"Sepatutnya perlawanan sedemikian diadakan di stadium berkecuali dan tidak akan ada pertikaian antara kedua penyokong.

"Kami agak terkejut apabila MFL mengumumkan stadium perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan KL City diadakan lagi sekali di SSI. Apakah ada tangan ghaib yang mengarahkan ianya diadakan di SSI?" soal kelab itu.

Berkenaan soal pembahagian tiket perlawanan, kelab penyokong KL City menggesa MFL agar memberi penjelasan lebih lanjut berhubung perkara tersebut.

"Kelab penyokong ingin tahu, apakah maksud sebenar MFL tidak masuk campur berkaitan penjualan tiket itu?

"Jika dilihat di page JDT Southerntigers, jelas memperkatakan pemegang season pass adalah diberikan keutamaan untuk pembelian tiket, ditambah dengan pemegang Season Pass dengan CUP MATCHES Add On akan masuk secara percuma.

"Kemusykilan kami di sini, sudah terang lagi bersuluh bahawa lebih kurang 80-90 peratus tiket akan diberikan kepada pasukan JDT. Hanya tinggal saki baki tiket sahaja untuk penyokong Kuala Lumpur City," kata kelab itu.

Kelab penyokong itu juga kesal kerana berasakan seperti dianaktirikan MFL memandangkan mereka sudah membuat persiapan untuk ke Johor bagi menyokong pasukan mereka.

"Untuk makluman pihak kelab juga sudah pun menempah bas untuk rombongan ke SSI nanti. Tetapi andai kata tiket hanya diberikan kepada kami hanya sebilangan kecil sahaja, kami amat kesali kami dianaktirikan oleh MFL.

"Silap haribulan tiket akan habis dan kami terpaksa batalkan rombongan bas kami. Duit kami dah bayar pada syarikat bas.

"Sepatutnya MFL ada kuasa untuk menentukan slot bilangan tiket yang akan diberikan kepada kedua pasukan, bukannya melepaskan batuk di tangga dan tidak ambil peduli dan lepas tangan begitu sahaja.

"Harus diingatkan, sepatutnya stadium berkecuali barulah adil pada semua dan tiada istilah tuan rumah.

"Apabila SSI sekali lagi dipilih sebagai venue, ianya haruslah (diadakan) secara disaksama untuk segala aspek terutama pembahagian tiket," kata mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram