Kelemahan ketara Harimau Muda, sebelum ‘tersembam’ di bumi Kemboja


  • Podium
  • Rabu, 23 Feb 2022

MALAYSIA terpaksa akur apabila tersingkir daripada kejohanan Piala AFF B-23 di Kemboja selepas tewas dua kali di tangan Laos. — Facebook/FAM

SEJAK kebelakangan ini, sukan bola sepak nampaknya sering membawa mood suram dalam kalangan peminat sukan tempatan ekoran persembahan memalukan di kejohanan serantau yang disertai.

Setelah skuad senior gagal mara ke peringkat separuh akhir kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura hujung tahun lalu, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pula menambah malu apabila mengikut jejak 'abang' tersingkir awal daripada kejohanan AFF B-23 di Kemboja selepas dua tewas kepada Laos dengan keputusan 1-2 dan 0-2.

Sejurus selepas skuad muda negara dimalukan oleh Laos, 'acara' menuding jari juga turut bermula oleh pelbagai pihak yang mencari siapa yang patut dipersalahkan atas aksi longlai Harimau Muda dalam kejohanan itu.

Walaupun mudah untuk meletakkan kesalahan di bahu pemain mahupun ketua jurulatih, Brad Maloney, perkara itu haruslah dilihat secara menyeluruh, termasuklah situasi yang berlaku dalam arena bola sepak negara.

Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membatalkan kejohanan Piala Belia dan juga Piala Presiden selama dua tahun berturut-turut tanpa pelan lain juga akhirnya memakan diri apabila skuad muda negara dilihat begitu kekok dengan bola di kaki apabila mereka seolah-olah 'terlupa' cara asas bermain bola sepak.

Mungkin alasan yang diberikan FAM untuk membatalkan kedua-dua kejohanan itu disebabkan penularan Covid-19 boleh diterima, tetapi badan induk itu seharusnya tampil dengan inisiatif lain supaya pemain muda negara tetap mempunyai platform untuk bermain secara kompetitif.

Hakikatnya, kesalahan tidak seharusnya diletakkan di bahu pemain atau pengurus sepenuhnya, tetapi FAM harus bertanggungjawab sama kerana tindakan mereka secara tidak langsung 'menyekat' peluang bermain pemain-pemain muda.

Selain itu, barisan pemain Laos pada kejohanan ini juga rata-ratanya mempunyai purata umur sekitar 19 tahun.

Pada 2019, pasukan bawah B-16 Laos menyertai kejohanan AFF B-16 di Thailand dan berada dalam kumpulan sama dengan pasukan Malaysia yang menjadi juara kumpulan.

Pasukan muda negara berjaya menampilkan persembahan mantap pada kejohanan itu apabila pulang dari bumi Thailand sebagai juara.

Namun, selepas tiga tahun, Laos ternyata berjaya menunjukkan peningkatan, manakala skuad negara pula seolah-olah 'mendedahkan' kelemahan pembangunan akar umbi bola sepak negara.

Ini membuktikan pembangunan akar umbi yang dilakukan persatuan bola sepak mereka berada di laluan yang betul, dan pada yang sama menunjukkan kita bergerak ke belakang dalam pembangunan akar umbi.

Mengulas mengenai persembahan hambar skuad negara, bekas Pengarah Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim juga mengakui kelemahan sistem bola sepak di negara ini yang tidak menitikberatkan pembangunan akar umbi menyebabkan para pemain tidak dapat bersaing.

Beliau meletakkan kesalahan di bahu FAM dan juga MFL yang tidak menyediakan lanskap bola sepak yang kondusif untuk pemain muda berkembang.

Beliau turut menekankan mengenai kebanjiran pemain import di liga tempatan, termasuk dalam pasukan kedua atau feeder club yang menyekat pembangunan pemain muda.

Ini membuktikan pembangunan akar umbi yang dilakukan persatuan bola sepak serantau berada di laluan yang betul, sekali gus pada masa yang sama menunjukkan kelemahan sistem pembangunan bola sepak kita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

harimau muda, b-23, piala aff, brad maloney, laos, fam, mfl