BELUMPUN bermula musim Liga Malaysia (Liga M) baharu, penyokong kelab-kelab yang bertanding sudah berbalah mengenai pelbagai isu di media sosial.
Sejak beberapa hari lalu, tular pelan tempat duduk stadium juara Liga Super 2021, Johor Darul Takzim (JDT) yang dikatakan tidak adil bagi penyokong lawan.
Menurut pelan tempat duduk musim 2022 Stadium Sultan Ibrahim yang dikeluarkan kelab Harimau Selatan itu, tempat duduk penyokong lawan dikhaskan di kawasan hujung stadium dengan kapasiti yang kecil.
Perkara itu mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penyokong pasukan-pasukan lain, terutama penyokong KL City FC yang bakal berkunjung ke stadium itu Sabtu ini untuk perlawanan Piala Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah).
Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC) meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung pembahagian penyokong di stadium itu.
"Atas bumbung ke tu? Tanya saja? Kami tak ramai, Insya-ALLAH kami hadir. Tunggu," katanya di Facebook pada Selasa.
Namun, ada yang mengatakan bahawa pelan tempat duduk itu hanyalah bagi perlawanan liga dan tidak terpakai bagi kejohanan Piala Sumbangsih atau mana-mana kejohanan yang menjadikan stadium itu sebagai venue neutral.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini menetapkan bahawa perlawanan Piala Sumbangsih akan diadakan di venue penyandang juara Liga Super itu dan bukan di stadium neutral bagi mengelakkan pergerakan besar-besaran dalam kalangan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram