'Nak makan jangan datang stadium, pergi tengok wayang atau kenduri kahwin'


SEBELUM penularan Covid-19, tiada isu larangan membawa makanan dan minuman ke dalam stadium. — The Star

"STADIUM yang besar luas tak boleh makan di dalamnya, tapi pergi panggung wayang boleh makan pula, pergi tempat lain boleh makan," kata Shahul Sahul.

Demikian luahan kesal salah seorang netizen yang mempertikaikan kewajaran kerajaan untuk tidak membenarkan penonton makan dan minum ketika menyaksikan perlawanan bola sepak, bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang lagi pengguna Facebook dikenali Uda Salleh berkata, beliau hairan apabila majlis keramaian seperti perkahwinan, kedai makan, restoran dan medan selera di pusat beli-belah dibenarkan makan dan minum sedangkan penularan Covid-19 masih ada.

"Makan atau minum dalam stadium boleh jangkit Covid-19 ke?

"Apa beza dan apa rasional sebenarnya? MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tolong jawab," katanya.

template (95)

TANGKAP layar komen netizen berkaitan larangan makan dan minum di dalam stadium.

Sementara itu, Mohd Hafiz Fidz mengesyorkan, sekurang-kurangnya penonton dibenarkan membawa air ketika menonton perlawanan.

"Kering tekak jerit. Untuk elak sampah atau penyokong baling botol dekat orang, cadangan hanya dibenarkan bawa botol air sendiri dan bukan botol air mineral," katanya.

Bagi bersikap adil terhadap penonton, Syahrul Ayoi meminta supaya meja orang kenamaan atau VIP juga tidak disediakan botol air mineral ketika menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Lagi satu, pastikan tiada makan dan minum dihidangkan kepada VIP ketika waktu rehat perlawanan," katanya.

template (96)

LAGI respons netizen berhubung larangan makan dan minum di dalam stadium.

Bukan itu sahaja, Ahmad Zahiruddin Zailani menyarankan supaya medan selera sementara dalam stadium disediakan bagi kemudahan orang ramai.

"Food truck, warung, meja dan kerusi, semua itu boleh dipasang sekurang-kurangnya dua hari sebelum perlawanan dan boleh dikemaskan sejurus selepas masa penuh. Yang untungnya nanti adalah peniaga itu sendiri, walaupun terpaksa membayar tapak sewa," katanya.

Terdahulu, permintaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) di dalam stadium ditolak oleh pihak kerajaan, selepas mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di Malaysia.

Permintaan tersebut adalah bertujuan untuk memastikan keselesaan setiap penyokong yang hadir ke stadium dan juga memastikan proses Liga Malaysia (Liga M) berjalan dengan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam dilaporkan berkata, kebenaran untuk makan dan minum di stadium dan juga penggunaan peraturan antarabangsa, yang mana pemain yang mempunyai kontak rapat Covid-19 tetapi negatif dibenarkan untuk bermain tidak mendapat jawapan diingini daripada kerajaan.

“MFL mahu memastikan keselesaan seperti kebenaran makan dan minum untuk penyokong di dalam stadium tetapi sehingga ke hari ini, kita tidak mendapat jawapan yang positif daripada kerajaan.

“Kita juga telah meminta untuk menggunakan peraturan antarabangsa kerana itu dapat mengelakkan pasukan kehilangan pemain dalam beberapa perlawanan.

“Perkara itu terjadi di kejohanan Piala AFF tahun lalu dimana dua pemain berkongsi bilik tetapi yang positif dikuarantinkan manakala negatif boleh teruskan saingan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram