Terpulang JDT, MFL tak masuk campur isu pembahagian tiket


  • Podium
  • Khamis, 24 Feb 2022

PERLAWANAN Piala Sumbangsih 2022 antara JDT dan KL City FC bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim Sabtu ini. — JDT

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak masuk campur berkenaan pembahagian tiket Piala Sumbangsih 2022 dan menyerahkan perkara itu kepada pengurusan Johor Darul Takzim (JDT) melalui perbincangan dengan lawannya, KL City FC.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, beliau percaya kedua-dua pihak telah mencapai kata putus berhubung perkara itu.

"Saya tidak ada apa-apa komen (tentang peruntukan tiket), saya percaya ia berdasarkan apa yang telah dipersetujui antara kedua-dua pasukan.

"Keselamatan penyokong dan juga koordinasi perlawanan adalah di bawah kelolaan JDT sebagai tuan rumah, jadi memang itu yang dibincangkan mereka dan pengurusan KL City FC," katanya kepada Majoriti.

Majoriti pada Rabu melaporkan rungutan Kelab Penyokong Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC) berhubung pembahagian penyokong pada perlawanan Piala Sumbangsih Sabtu ini.

KLFC meluahkan ketidakpuasan hatinya ekoran kapasiti tempat duduk yang diperuntukkan kepada penyokong lawan dianggap terlalu sedikit dan berada di bahagian yang terpencil.

Terdahulu, MFL mengumumkan bahawa perlawanan Piala Sumbangsih tidak akan dimasukkan dalam saingan liga bermula musim ini, sebaliknya akan dijadikan pertandingan berasingan dalam kalendar Liga Malaysia.

Menurut MFL, perlawanan itu akan diadakan di venue JDT iaitu di Stadium Sultan Ibrahim dan bukan di stadium neutral bagi mengelakkan pergerakan besar-besaran dalam kalangan penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram