KL City harus lupakan JDT, ingatlah Selangor


  • Podium
  • Selasa, 01 Mac 2022

ZHAFRI merupakan salah seorang tonggak KL City FC ketika menjuarai Piala Malaysia tahun lalu. — Bernama

TONGGAK Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya mahu melupakan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi Piala Sumbangsih Sabtu lalu dan bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Selangor FC.

Zhafri mahu juara Piala Malaysia 2021 itu fokus bagi mengutip tiga mata penuh pada aksi pembuka tirai Liga Super 2022 menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat ini.

Beliau menjangkakan KL City FC akan menempuh perlawanan yang sukar apabila melihat Selangor melakukan persiapan lebih rapi pada musim ini.

"Bagi saya perlawanan menentang JDT hari itu sebahagian daripada aksi pemanas badan juga dan persiapan kita pun bukanlah yang terbaik sebelum ini disebabkan kekurangan pemain dalam tempoh pramusim.

"Jadi, banyak perkara perlu dilakukan untuk pasukan ubah formasi baharu sebab kita pun ada pemain baharu juga yang perlu mendapatkan kombinasi antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa.

Sementara itu, pemain berusia 28 tahun itu amat menitikberatkan tahap kecergasannya dan berharap dapat mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan musim ini.

Ini kerana, beberapa rakan sepasukannya berdepan kecederaan yang tidak diduga pada saat pasukan memerlukan kudrat mereka, justeru Zhafri mengharapkan tiada lagi insiden sama berulang pada musim ini.

"Sebab musim lepas pun kita ada beberapa pemain yang cedera dan tidak boleh beraksi, jadi harap tahun ini kami semua akan bebas daripada kecederaan serius.

"Apa pun, saya mahu lebih fokus dan kekalkan momentum yang ada ketika ini untuk Kuala Lumpur beraksi dengan lebih baik sepanjang musim in,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram