Lesen tidak ditarik, Perak FC sah bertanding musim ini — MFL


  • Podium
  • Selasa, 22 Feb 2022

SKUAD Perak FC disahkan boleh bertanding dalam aksi Liga Premier musim ini. — Facebook/Perak FC

USAH bimbang peminat Kejor Yob Kejor, skuad Perak FC sah kekal bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Demikian jaminan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi menghurai persoalan yang bermain di fikiran peminat fanatik The Bos Gaurus mengenai masa depan kelab itu, setelah dikatakan tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini gara-gara tidak menepati kriteria yang ditetapkan apabila masih tidak memiliki skuad Piala Presiden (B-21) dan Piala Belia (B-19).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam sebaliknya berkata, proses dokumentasi itu hanya melibatkan pendaftaran bagi musim 2023, bukannya musim ini.

"Permohonan Skuad Perak FC sudah diluluskan bagi mendapatkan lesen untuk musim 2022, jadi mereka tiada masalah untuk bertanding musim ini," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, pihaknya memberi ruang kepada skuad Perak FC untuk menyelesaikan isu itu sebelum tirai musim 2023 bermula.

"Kami memahami kesukaran yang dihadapi Perak FC musim ini, jadi biarlah pihak pengurusan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka satu-persatu terlebih dahulu.

"Masih banyak masa sebelum tirai saingan 2023, tidak mustahil mereka (Persatuan Bola Sepak Perak - PAFA) akan bekerjasama dengan mana-mana pasukan belia untuk mengatasi masalah ini sebelum menyerahkan proses dokumentasi bagi tahun berikutnya," jelasnya lagi.

Untuk rekod, antara syarat perlesenan kelab yang ditetapkan MFL bagi skuad Liga Premier adalah wajib memiliki tiga skuad bawah umur manakala kelab Liga Super pula wajib memiliki empat skuad bawah umur.

Pada Disember 2021, PAFA mengumumkan IMC Sdn Bhd sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk bola sepak negeri itu dijual kepada syarikat berkenaan.

Manakala dalam satu sidang media pada 13 Februari lepas, PAFA memaklumkan Perak FC akan berusaha menyelesaikan isu tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan tuntutan gaji beberapa bekas pemain import serta pembayaran kepada ejen pemain.

Disebabkan tunggakan gaji itu, Perak FC dikenakan hukuman oleh FIFA selepas gagal menjelaskan tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan tuntutan gaji beberapa bekas tonggak import serta pembayaran kepada ejen pemain.

Ia melibatkan bekas pemain import mereka iaitu Jeon Hyo Seok, Leandro dos Santos dan Raianderson da Costa Morais, selain turut berhutang kepada ejen Leandro dan Raianderson.

Perak FC juga berdepan kemungkinan tidak mempunyai kuota pemain yang cukup untuk bermain dalam musim baharu kali ini memandangkan jendela pendaftaran pemain baharu Liga-M ditutup pada 22 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram