PERANCANG tengah KL City, Muhammad Hadin Azman dijangka bakal menjadi 'duri dalam daging' skuad Johor Darul Takzim (JDT) menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada malam Sabtu.
Tanpa berselindung, bekas tonggak JDT dan Felda United itu juga mengakui sering menjadi 'sasaran' kemarahan pengendali KL City, Bojan Hodak selama ini, namun dia sedikit pun tidak terasa hati dengan situasi itu.
"Memang saya yang paling banyak kena marah dengan coach (Hodak), kadang-kadang baru masuk main tak sampai lima minit.
"Tapi saya sudah biasa dan faham kehendak jurulatih supaya saya dapat memenuhi percaturan taktikal pasukan," katanya ketika ditemu bual MFL dalam segmen 5 Minit Bersama.
Mengulas lanjut, tonggak berusia 28 tahun itu juga menghargai sokongan keluarga terutamanya bapa yang menyokong penuh kariernya sebagai pemain bola sepak meskipun terpalit sedikit kontroversi luar padang sedikit masa lalu.
"Semasa kecil, saya sering mengikuti ayah menonton perlawanan bola, malah turut berpeluang bermain bersama rakan-rakan ayah," katanya yang meminati dua bintang import Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.
Pada masa sama, Hadin turut berkongsi rahsia mengenai hobinya pada masa lapang jika tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan bola sepak.
"Saya suka main go-kart dan mini GP," ceritanya yang turut memiliki abang yang aktif dalam sukan bola sepak dan kini mewakili skuad Futsal Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram