PERAK FC bakal memulakan saingan Liga Premier musim ini dengan langkah kiri apabila tiga tonggak baharu yang ditandatanganinya, Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya gagal didaftarkan sebelum tempoh pendaftaran pertama ditutup pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, setakat 12 tengah malam Selasa, Perak FC telah menghantar 20 nama yang terdiri daripada pemain yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan, serta pemain daripada skuad Piala Belia dan Piala Presiden.
"Disebabkan larangan perpindahan pemain oleh Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), mereka tidak boleh mendaftar walau seorang pun pemain baharu.
"Ini bermakna, kesemua pemain berkenaan (Wan Zack Haikal, Indra Putra dan Syamim Yahya) tidak boleh didaftarkan dalam senarai pasukan pada jendela pendaftaran pertama kali ini.
"Namun, jika hutang dapat diselesaikan dalam masa terdekat, kita ada jendela pendaftaran kedua, dan pemain-pemain tersebut boleh didaftarkan pada waktu itu," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, The Bos Gaurus dikenakan hukuman oleh Fifa selepas gagal menjelaskan tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan tuntutan gaji beberapa bekas tonggak import serta pembayaran kepada ejen pemain.
Ia melibatkan bekas pemain import mereka iaitu Jeon Hyo Seok, Leandro dos Santos dan Raianderson da Costa Morais, selain turut berhutang kepada ejen Leandro dan Raianderson.
Dalam pada itu, Stuart turut menegaskan, selepas tempoh pendaftaran pemain ditutup pada Selasa, tidak ada mana-mana pasukan yang dibenarkan lagi untuk mendaftarkan pemain.
Ini bermakna, ketiga-tiga pemain itu terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia sehingga tempoh pendaftaran pemain dibuka semula Mei depan.
Dalam pada itu, Stuart berharap Perak FC dapat menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin supaya mereka dapat membariskan barisan terkuat selepas jendela perpindahan kedua nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram