'Adakah MFL gagal kawal jurang antara kelab kaya, kurang berkemampuan?'


  • Podium
  • Isnin, 21 Feb 2022

PEMAIN pasukan UiTM FC Nana Poku (tengah) cuba mengawal bola dari dua pemain pasukan Terengganu FC II Muhammad Nur Azfar Fikri (kiri) dan Masaki Watanabe (kanan) pada perlawanan persahabatan Shah Alam City Cup 2021 . — Bernama

TINDAKAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang gagal mengawal jurang antara kelab kaya dan kurang berkemampuan didakwa menyebabkan suasana Liga Malaysia semakin buruk, kata seorang peminat bola sepak.

Zuraimi Zukri dalam coretannya di Facebook berkata, perkara itu dilihat apabila segalanya tidak menjadi bagi MFL, sama ada mahu mengapungkan liganya menjadi bebas atau mengikat dengan dasar supaya lebih banyak kelab yang mampan tumbuh.

Tambahan pula, katanya, UiTM FC kini berada dalam potensi untuk menarik diri, mengikuti puluhan kelab yang gulung tikar sejak liga profesional diperkenalkan.

"Jika kau penganjur pasar malam, makin lama makin hilang peniaga atau peniaga datang sekejap lepas tu cabut, apa maknanya?

"Tak kisah apa sebabnya ia tetap kepada jawapan penganjur tak bagus. Penganjur gagal menyediakan suasana bagus untuk mereka.

"Idea feeder club juga tidak berjalan seperti yang diharapkan. PKNP atau Perak ll hilang dari radar profesional," katanya.

Pada masa sama, Zuraimi berkata, hanya lima pasukan sebenar akan bersaing di Liga Perdana untuk merebut slot promosi ke Liga Super.

"Menyarankan supaya kelab lebih berhemah tidak berkesan, mengikat peraturan pula tidak akan dipersetujui oleh beberapa kelab.

"Jadi MFL cuma perlu menadah tangan supaya liganya berkembang dengan sendirinya. Malangnya ia semakin buruk. Kesian, biar papa asal bergaya," katanya.

Mengulas lanjut, Zuraimi mendakwa, MFL masih belum mampu berdiri dengan sendirinya, apatah lagi mahu bebas seperti Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tambahan pula, katanya, seluruh Eropah mampu mengawal kelab supaya jurang mereka tidak terlalu besar dan pada masa sama ia tidak pernah menjejaskan pasukan kaya.

"Kerana pasukan kaya tetap kaya, mereka mempunyai pendapatan tinggi. Eropah cuma mengawal supaya tidak berlebihan.

"MFL? Tak buat apa-apa. Macam mana kita nak ke Piala Dunia?" soalnya lagi.

Liga Premier kini mempunyai 10 pasukan yang bertanding iaitu JDT II, Kelantan FC, MPKB-BRI, Kuching City, PDRM, Perak, PKNS FC, Projek FAM-MSN, T-Team dan UiTM.

Timbul desas desus apabila UiTM FC bakal menjadi pasukan pertama dari Liga M yang menarik diri dalam saingan musim 2022 kerana pasukan bertaraf universiti itu dikatakan kekurangan dana untuk meneruskan saingan pada musim ini sekali gus menyaksikan lebih separuh pemain termasuk barisan kejurulatihan 'angkat kaki' ke kelab lain.

Menurut sumber dalaman pasukan terbabit, UiTM FC boleh dikatakan 'patah kaki' untuk menyiapkan pasukan apabila dana yang diterima untuk musim ini dipotong lebih 50 peratus sekali gus kelab yang pernah beraksi di Liga Super itu tidak boleh membeli pemain baharu.

Beliau berkata, lebih malang lagi, kekurangan penaja menyebabkan segala perancangan pasukan terbantut dan pengurusan pasukan itu dilihat bergelut untuk menentukan hala tuju kelab berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MSK (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan pasukan 'The Lion Troops' masih lagi mahu meneruskan perjuangan dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau berkata, UiTM FC ketika ini tidak 'berbunyi' mahu mengundur diri walaupun dilihat tidak melakukan persiapan rapi pada tempoh pramusim.

"Apa yang saya dengar, rundingan untuk penukaran pemilik tidak dapat berjalan jadi saya sentiasa berhubung dengan mereka. Cuma pada masa ini dan berdasarkan maklumat yang saya terima, UiTM FC sah akan bertanding.

"Setiap pasukan menerima borang pengesahan pertandingan yang perlu diisi dan ditandatangani sebelum dihantar kepada MFL. UiTM FC sudah pun melakukan perkara itu.

"Tiada persiapan pramusim sekalipun, tidak bermakna mereka akan menarik diri kerana dokumentasi hitam putih yang saya terima menyatakan mereka akan bertanding.

"Cuma kalau mereka tidak mendaftarkan pemain sehingga 22 Februari ini, kita akan anggap mereka menarik diri," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram