MFL 'pak turut' FAM? Ini pandangan tiga ‘otai’ bola sepak


  • Podium
  • Khamis, 03 Mac 2022

MFL yang bertanggungjawab dalam mengendalikan perjalanan Liga Malaysia, diwujudkan bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu dan imej liga tempatan. — The Star

SEJAK diwujudkan pada 2015 dengan nama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Malaysian Football League (MFL) melalui pelbagai perubahan dari segi struktur dan organisasinya sehinggalah ia menjadi satu badan bebas yang tidak berkait dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2018.

MFL yang bertanggungjawab dalam mengendalikan perjalanan Liga Malaysia, diwujudkan bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu dan imej liga tempatan.

Namun, badan pengelola liga tempatan itu tidak pernah terlepas daripada kecaman peminat bola sepak tempatan sejak dahulu lagi terutama berkenaan keputusan yang dilakukan serta cara pengendalian liga.

Ada sebahagian peminat yang mendakwa MFL diwujudkan sekadar untuk menjadi 'pak turut' kepada FAM dan tidak mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan.

Selain itu, ketegasan MFL juga dipersoalkan sehingga pernah dituduh mengamalkan sikap pilih kasih terhadap beberapa pasukan sehinggakan terma 'rakan kongsi' diwujudkan merujuk kepada kelab-kelab yang didakwa menjadi anak emas badan itu.

MFL juga dikatakan tidak bebas dalam melakukan keputusan dan sering kali didakwa terikat oleh 'tangan ghaib' yang mengawal badan itu dari luar.

Bekas pemain legenda negara, Datuk Jamal Nasir bagaimanapun menolak perkara itu dan menegaskan, MFL sudah melakukan yang terbaik untuk menguruskan liga tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam membuat keputusan.

"Bagi saya tiada isu jika nak kata MFL ni ikut telunjuk FAM atau tidak bebas dalam membuat keputusan. Apa-apa yang dilakukan oleh mereka ada asasnya dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Untuk perjalanan liga juga bukan mudah kerana banyak benda yang harus mereka pertimbangkan termasuklah kalendar FIFA serta penyertaan pasukan-pasukan Liga M dalam kejohanan luar negara seperti Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia," katanya kepada Majoriti.

Cuma, beliau tidak menolak ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan bersama-sama oleh MFL dan juga FAM, tetapi itu tidak bermakna MFL mengikut telunjuk FAM dalam membuat keputusan.

Menurutnya, perkara ini adalah normal memandangkan kedua-dua mempunyai kepentingan dalam sistem bola sepak negara.

"MFL ni dia uruskan liga, FAM pula adalah badan induk bola sepak negara. Jadi sudah tentu ada masanya mereka perlu duduk semeja.

"Itu tidak dapat dielakkan, cuma untuk mengatakan bahawa mereka tidak bebas dalam membuat keputusan bagi saya tak betul," katanya.

Dalam pada itu, menurut penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, MFL sememangnya akan terkait dengan FAM kerana ia merupakan badan yang ditugaskan oleh FAM untuk menguruskan Liga M.

"Jika dilihat, MFL ini adalah sebuah proksi FAM untuk menguruskan Liga Malaysia. Jadi apa-apa isu sememangnya perlu dirujuk kepada FAM," katanya.

Mengulas lanjut, Pekan juga berkata, MFL juga ada melakukan beberapa keputusan yang sukar namun wajar melibatkan pasukan yang bertanding.

Mengambil contoh isu Perak FC yang dibenarkan untuk menyertai liga walaupun berdepan penggantungan perpindahan pemain akibat masalah tunggakan gaji, beliau berkata, MFL bijak dalam menyelesaikan isu tersebut walaupun berdepan kritikan oleh ramai peminat bola sepak tempatan.

"Kebenaran yang diberikan oleh MFL kepada Perak FC untuk dibenarkan beraksi bukanlah kerana mereka tidak tegas tetapi ia lebih kepada langkah membantu menyelamatkan masa depan pemain-pemain dan juga pembangunan bola sepak secara keseluruhan di negeri Perak khususnya.

"Kalau nak bunuh bola sepak di Perak senang saja, sekat saja penyertaan Perak FC, maka terbubarlah juga pasukan Piala Belia dan Piala Presiden yang ada.

"Maka ramailah pemain-pemain muda di Perak yang akan hilang platform untuk memperagakan kebolehan serta terbantut untuk pergi lebih jauh dalam kerjaya ini," katanya.

Namun, beliau optimis kebenaran Perak FC untuk beraksi itu pastinya bersyarat dan tidak sewenang-wenangnya diberi oleh MFL.

Katanya, ini tidak bermakna MFL tidak bertegas dalam membuat keputusan, tetapi beliau melihat bahawa MFL menggunakan kaedah toleransi dan turut mempertimbangkan jadual perjalanan liga yang sudah ditetapkan.

Dalam pada itu, bukan sahaja mengenai cara pengurusan liga, MFL juga turut dikritik gagal mewujudkan sistem liga yang baik dalam membantu pembangunan pemain tempatan, terutamanya pemain muda.

Antara yang sering menjadi kecaman peminat bola sepak tempatan adalah berkenaan kebenaran pemain import yang disifatkan terlalu ramai serta projek naturalisasi yang hanya membuang masa.

Senario itu didakwa telah menyebabkan pembangunan pemain tempatan terbantut dan gagal bersaing di peringkat antarabangsa.

Mengulas mengenai perkara itu, jurulatih legenda, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, beliau tidak melihat kebenaran lima import serta projek naturalisasi sebagai punca bakat tempatan tidak menyerlah.

Begitupun, beliau mengakui satu langkah drastik harus dilakukan dalam sistem bola sepak tempatan kerana pemain-pemain negara, terutamanya bakat muda kini dilihat semakin ketinggalan.

"Melihat kepada persembahan skuad kebangsaan pada dua kejohanan baru-baru ini (Piala AFF Suzuki dan kejohanan AFF B-23), kita kena akui bahawa bola sepak kita semakin ketinggalan berbanding negara-negara Asean lain.

"Kalau diimbas kembali zaman saya, bola sepak kita boleh dikatakan maju sehingga menjadi rujukan gergasi Asia lain. Tetapi, kini kita masih di tahap yang sama sedangkan Korea Selatan dan Jepun sudah melangkah ke Piala Dunia," katanya.

Menurutnya, terdapat kelemahan dari segi pembangunan pemain tempatan yang menyebabkan pemain-pemain gagal bersaing di peringkat yang tinggi.

Justeru, beliau melihat sistem liga tempatan perlu melalui satu pembaharuan supaya pembangunan akar umbi pemain muda negara tidak ketinggalan.

"Contohnya, pasukan kedua atau feeder team tidak perlu ada pemain import supaya dapat memberi peluang kepada pemain tempatan, terutama pemain muda untuk beraksi.

"Kalau kita lihat berdasarkan aksi pemain-pemain pada Piala AFF B-23 lalu, hanya sebilangan sahaja yang mendapat peluang bermain dengan kerap.

"Pemain-pemain muda ini perlu minit permainan yang cukup supaya dapat pendedahan bola sepak peringkat tinggi dan kompetitif," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mfl, fam, liga m, azraai khor, pekan ramli, jamal nasir