“SATU, dua, tiga,” kira Sara Garcia Alonso sambil memandang rakan angkasawannya, Amelie Schonenwald, sebelum kedua-duanya jatuh ke belakang dari rakit penyelamat ke dalam air.
Dengan bunyi desiran, jaket keselamatan mereka mengembang, memastikan angkasawan Sepanyol dan Jerman itu terapung di permukaan air dalam sut kelangsungan hidup masing-masing.
Buat mereka yang bercita-cita menjadi angkasawan, adalah penting untuk anda mempelajari kursus kelangsungan hidup di laut.
BACA LAGI:Preskripsi alam semula jadi 'ubat' mujarab atasi tekanan darah, hormon stres dan tingkatkan imuniti
Apa yang mereka latih di lembangan pelabuhan di luar pesisir Laut Baltik, Jerman, adalah penting untuk kelangsungan hidup di Lautan Pasifik, sekiranya sebuah kapsul angkasa tersasar daripada laluan sebelum mendarat.
Alonso dan Schonenwald adalah dua daripada lima wanita dan tiga lelaki dari tujuh negara Eropah merupakan ahli simpanan angkasawan Agensi Angkasa Eropah (ESA).
Mereka mengambil bahagian dalam latihan kelangsungan hidup di perairan Rostock.
Berdasarkan rekod, 50 tahun selepas penubuhannya, ESA kini cuba mengejar pesaingnya yang jauh lebih maju di Amerika Syarikat dan China, juga India yang semakin pesat bergerak.
Walaupun terdapat sebuah pangkalan angkasa Eropah di Kourou, Guiana Perancis, bahkan benua itu memiliki kenderaan pelancar sendiri seperti Vega C dan Ariane 6, Eropah masih belum mampu menghantar manusia ke angkasa dengan keupayaannya sendiri.

Schonenwald (tiga dari kiri) memakai sut keselamatan semasa sesi latihan dengan potensi angkasawan Agensi Angkasa Eropah yang lain.
Laluan latihan angkasawan
Sesiapa yang berharap berpotensi maju dalam hierarki ESA, perlu terlebih dahulu menjalani latihan kelangsungan hidup di laut.
Kemahiran lain yang perlu dikuasai oleh kumpulan itu termasuk menuruni tali ke dalam bot, berenang dengan sut kelangsungan hidup, mengayuh rakit penyelamat atau melepaskan suar isyarat.
Schonenwald berkata dalam penerbangan angkasa, anda perlu bersedia untuk segala kemungkinan.
Beliau sebelum ini telah mengikuti kursus kelangsungan hidup musim sejuk, yang direka untuk menyediakan angkasawan sekiranya mereka mendarat di kawasan beriklim sejuk.
“Dan pilihan lain selain ais, salji dan cuaca sejuk ialah mendarat di air,” katanya.
Tapak pendaratan manakah yang lebih disukainya secara peribadi?
“Kedua-duanya,” katanya, sambil menjelaskan bahawa beliau ingin terbang ke angkasa sekurang-kurangnya dua kali.
Tiada jaminan tempat
Walaupun menjalani latihan, misi angkasa bukanlah sesuatu yang dijamin bagi anggota simpanan angkasawan.
Buat pertama kali, di bawah kohort baharu yang dipilih pada 2022, ESA memilih 12 calon sebagai simpanan selain lima angkasawan sepenuh masa.
Anggota simpanan seperti Schonenwald mengekalkan pekerjaan tetap mereka tetapi menjalani sejenis latihan asas angkasawan dalam beberapa blok latihan yang berlangsung selama beberapa minggu.
Ia bagi membolehkan mereka menyertai misi jangka pendek sekiranya, peluang muncul atau dinaikkan sebagai angkasawan sepenuh masa pada masa hadapan.
Sebagai sebahagian daripada blok latihan semasa, Schonenwald baru-baru ini menyertai penerbangan parabola di Perancis.
Di sana, sebuah pesawat akan mendaki secara curam dan kemudian menurun untuk menghasilkan tempoh tanpa berat bagi penumpang.
“Ia sangat hebat dan sudah tentu amat menyeronokkan,” ujarnya.
Kerjasama berpasukan
Ini merupakan kali ketiga bakal angkasawan menjalani latihan kelangsungan hidup di kawasan Rostock.
Heiko Seefeldt, Pengarah Urusan syarikat ISC Training & Assembly, bertanggungjawab melatih kumpulan tersebut.
Syarikat itu, yang biasanya melatih pekerja industri luar pesisir, berasa berbesar hati kerana dapat melatih bakal angkasawan masa depan.
Menurut Seefeldt, kerja berpasukan amat penting dan bukan tindakan secara individu kerana berseorangan tidak mampu bertahan lama.
Dua angkasawan yang dilatih syarikat itu dua tahun lalu kini telah dipilih untuk menyertai misi angkasa.
Seefeldt berkata syarikat tersebut mengikuti perkembangan kerjaya mereka dengan rapat.
“Lagipun, mereka telah menyumbang sebahagian kecil kepada kejayaan angkasawan tersebut terbang ke angkasa, dan mereka berasa bangga dengan sumbangan itu,” jelasnya.
Ke manakah Schonenwald paling ingin terbang terlebih dahulu?
“Hasrat terbesar saya adalah untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan mungkin suatu hari nanti ke Bulan,” harapnya.—The Star/CHRISTOPHER HIRSCHdanRACHEL SOMMER
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
